Seperti selebriti, golongan diraja juga turut mendapat perhatian dari orang ramai di seluruh dunia. Lebih-lebih lagi, mereka ini lebih tertutup dan jarang mendedahkan kehidupan peribadi di mata awam, ia membuatkan ramai orang lagi berminat untuk ambil tahu tentang kehidupan mereka.
Kalau nak diikutkan, sejak dulu lagi golongan diraja di seluruh dunia telah mendapat perhatian media ekoran skandal dan kontroversi yang melanda mereka. Biasanya ia melibatkan hubungan yang kontroversi di mana kebanyakan dari mereka telah memilih cinta berbanding apa yang telah ditetapkan oleh keluarga. Kalau korang nak tahu kisah cinta keluarga diraja paling kontroversi, korang boleh baca dekat bawah ni.
1. Raja Henry VIII dan Anne Boleyn
Salah satu pasangan diraja klasik paling kontroversi merupakan Raja Henry VIII dan Anne Boleyn. Penyatuan pasangan ini telah menyebabkan keseluruhan kerajaan menukar agama mereka dari Katolik Rom kepada Gereja England.
Semua ini berlaku pada kurun ke-16 apabila raja ini telah membuat keputusan untuk ceraikan isterinya, Catherine of Aragon kerana gagal menghasilkan zuriat lelaki dan memilih berkahwin dengan perempuan simpanannya Anne Boleyn.
Namun begitu, rancangan untuk bercerai dan berkahwin semula telah dihalang oleh Gereja Katolik sehingga Raja Henry telah mengambil langkah drastik dengan memperkenalkan Gereja England di negaranya.
2. Edward VIII dan Wallis Simpson
Artikel berkaitan: Ini 7 Momen Perkahwinan Diraja Paling ‘Fail’ Yang Pernah Berlaku Dalam Sejarah
Mungkin ramai yang tahu cerita tentang Edward VIII ni, malah beliau dikenali sebagai Raja yang tinggalkan takhta untuk berkahwin dengan kekasih yang dicintainya iaitu Wallis Simpson yang merupakan wanita Amerika yang sudah bercerai sebanyak dua kali.
Kalau ikut undang-undang Gereja England, golongan diraja tak dibenarkan untuk berkahwin dengan wanita atau lelaki yang telah bercerai. Disebabkan cinta, Edward telah membuat keputusan untuk menyerahkan takhta diraja kepada adiknya George VI sekaligus mengubah keseluruhan line penggantian raja British dan menjadikan mereka salah satu pasangan diraja paling kontroversi di dunia.
3. Puteri Margaret dan Peter Townsend
Adik perempuan Queen Elizabeth II, Puteri Margaret juga pernah mencipta skandal romantik yang paling kontroversi sepanjang zaman. Ia berlaku apabila pada tahun 1953, terdapat khabar angin mengenai percintaan Puteri Margaret bersama Peter Townsend.
Ekoran dari ini, Ratu Elizabeth II, Parlimen dan Gereja England telah menolak rayuan pasangan ini untuk berkahwin dan meletakkan syarat jika puteri ini enggan patuhi, keistimewaan dirajanya akan ditarik. Ini berlaku ekoran Peter Townsend merupakan seorang duda.
Namun begitu, tak lama kemudian Puteri Margaret telah membuat pengumuman bahawa beliau telah memutuskan pertunangannya dengan Peter Townsend kerana mematuhi Gereja England yang hanya mengenali perkahwinan pertama sebagai perkahwinan selama-lamanya.
4. Puteri Mako Jepun dan Kei Komuro
Pada Mei 2017, diumumkan bahawa Puteri Mako akan berkahwin dengan orang kebanyakan iaitu Kei Komuro. Pun begitu, perkahwinan mereka telah ditangguhkan selepas terdapat beberapa laporan mengenai ibu Komuro yang sedang “bergaduh” mengenai kewangan dengan bekas tunangnya sehingga menyebabkan banyak kritikan dari media.
Selain itu, kerana berkahwin dengan orang biasa, Mako perlu menjalani majlis rasmi untuk menandakan pemergiannya dari keluarga diraja dan akan diberikan wang sebanyak US$1.4 juta sebagai hantaran perkahwinannya. Pun begitu, Mako telah menolak kedua-dua tradisi ini.
Selepas bertahun-tahun dilanda kontroversi, Mako akhirnya berkahwin dengan Komuro pada November 2021 dan pasangan ini telah meninggalkan Jepun untuk ke New York pada bulan yang sama.
5. Raja Charles III dan Ratu Camilla
Artikel berkaitan: Ini Kronologi Percintaan Diraja Di Antara King Charles & Queen Camilla
Raja Charles telah berkahwin dengan Diana dan bukannya Camilla kerana sebagai pewaris takhta, beliau diharap untuk berkahwin dengan orang berdarah bangsawan. Pun begitu, pada tahun 1986, Charles telah menjalinkan hubungan sulit dengan Camilla semasa mereka berdua sedang berkahwin dengan orang lain.
Selepas menceraikan Diana pada 1996, Charles telah meneruskan percintaannya dengan Camilla dan akhirnya mendapat keizinan untuk berkahwin dengan Camilla pada 2005, berpuluh tahun selepas mereka jumpa kali pertama pada tahun 70-an.
Penukaran peraturan Gereja England tentang berkahwin dengan duda pada tahun 2002 telah membolehkan Charles berkahwin dengan Camilla.
Sumber: MSN