Bila bayi tiba-tiba meragam, kurang menyusu atau nampak tak selesa, ramai ibu bapa mungkin menyangka si kecil cuma mengantuk, lapar atau mengalami hidung tersumbat biasa.
Tapi kalau keadaan ini berlaku ketika jerebu melanda, ibu bapa mungkin perlu beri perhatian lebih. Ini kerana perubahan kecil pada tingkah laku, corak penyusuan dan pernafasan bayi boleh menjadi antara tanda awal sistem pernafasan mereka terjejas.
Lebih-lebih lagi, bayi dan kanak-kanak kecil mungkin tidak dapat menunjukkan dengan jelas apa yang mereka rasakan, menyebabkan tanda awal gangguan pernafasan mudah terlepas pandang.
Menurut Pakar Pediatrik dan Respiratori Pediatrik di Sunway Medical Centre Sunway City, Dr Noor Zehan Abdul Rahim, batuk dan hidung tersumbat boleh berkembang menjadi kesukaran bernafas atau menyusu.
Bayi yang tiba-tiba meragam luar biasa atau kurang menyusu akibat hidung tersumbat juga mungkin sudah menunjukkan tanda awal gangguan pernafasan.
“Jangan tunggu sehingga anak kelihatan benar-benar bergelut untuk bernafas sebelum mendapatkan bantuan. Tanda awal seperti kurang menyusu, meragam luar biasa atau kesukaran bernafas yang semakin meningkat tidak boleh diabaikan.”
Bukan Bayi Sahaja, Warga Emas Pun Berisiko

Dalam keadaan jerebu, perubahan kecil pada pernafasan bukan sahaja perlu diperhatikan dalam kalangan bayi dan kanak-kanak, malah warga emas juga memerlukan perhatian tambahan.
Menurut Pakar Perubatan dan Respiratori di Sunway Medical Centre, Sunway City, Dr Syed Ajmal Syed Ali, tanda awal masalah pernafasan akibat jerebu kadangkala tidak begitu ketara, khususnya dalam kalangan golongan dewasa yang berisiko dan warga emas.
“Ramai orang menjangkakan masalah pernafasan akibat jerebu akan kelihatan dengan jelas. Namun, tanda awalnya boleh jadi sangat halus, terutamanya dalam kalangan golongan dewasa yang berisiko atau warga emas.”
Antara perubahan yang perlu diperhatikan termasuk batuk atau pengeluaran kahak yang semakin kerap, nafas berbunyi atau berdehit, dada terasa ketat serta cepat semput ketika melakukan aktiviti harian yang sebelum ini boleh dilakukan tanpa masalah.
“Jika seseorang mula mengalami sesak nafas, batuk atau nafas berdehit yang semakin teruk, atau ubat yang biasa digunakan tidak lagi memberikan kelegaan secukupnya.”
Apa Yang Ada Dalam Jerebu Sampai Boleh Jejaskan Paru-Paru?
Salah satu kebimbangan utama ketika jerebu ialah zarah halus PM2.5, iaitu partikel kecil yang boleh menembusi jauh ke dalam saluran pernafasan.
Menurut Dr Syed, apabila zarah ini sampai ke saluran pernafasan yang lebih kecil dan kantung udara dalam paru-paru, ia boleh mencetuskan keradangan serta meningkatkan penghasilan lendir.
“Keadaan ini boleh menyebabkan batuk, nafas berdehit, dada terasa ketat dan sesak nafas.”
Selain bayi, kanak-kanak dan warga emas, individu yang menghidap asma atau penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) juga berisiko mengalami masalah pernafasan apabila terdedah kepada udara tercemar.
Malah, pesakit asma atau COPD tidak seharusnya menganggap diri mereka terlindung hanya kerana keadaan mereka terkawal.
Dr Syed menasihatkan pesakit supaya terus mengambil ubat yang dipreskripsikan doktor dan memastikan inhaler sentiasa mudah dicapai.
Apa Yang Ibu Bapa Boleh Buat Ketika Jerebu?
Kedua-dua pakar menyarankan orang ramai supaya berada di dalam rumah sebanyak mungkin dan mengelakkan aktiviti luar yang berat ketika jerebu.
Namun, duduk di dalam rumah tidak bermakna semua aktiviti fizikal perlu dihentikan.
Kanak-kanak masih boleh bermain di dalam rumah, manakala warga emas boleh melakukan pergerakan ringan di ruang tertutup.
Dr Noor Zehan turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menggunakan minyak pati (essential oil) sebagai rawatan jerebu kerana bahan itu tidak menyingkirkan bahan pencemar daripada udara dan mungkin menambahkan bahan lain ke dalam persekitaran dalaman.
Jika perlu keluar rumah, Dr Syed menyarankan penggunaan pelitup muka N95 atau K95 yang dipakai dengan betul dan sesuai pada wajah.
Apa yang paling penting, ibu bapa perlu peka terhadap perubahan tingkah laku, penyusuan dan pernafasan anak ketika jerebu melanda. Jika anak mula mengalami kesukaran bernafas atau masalah pernafasan mengganggu penyusuan, jangan berlengah untuk mendapatkan rawatan.
Kadangkala, tanda awal yang nampak kecil itulah yang perlu diberi perhatian sebelum keadaan menjadi lebih serius.
