Bukan calang-calang! Seorang pegawai Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai Penuntut Terbaik Keseluruhan Kursus Sniper 2026.
Beliau telah dianugerahkan ‘Excellent Student Award‘ dalam majlis penutup yang berlangsung di Shijiazhuang Campus, PLA Infantry Academy, Hebei, China.
TLDM menerusi satu kenyataan memaklumkan, pegawai terbabit mengikuti kursus itu dari 1 Mac hingga 31 Julai lalu, bersama 131 penuntut dari lebih 24 negara.
“Selain anugerah tertinggi berkenaan, pegawai itu turut menerima Sijil Kepujian – Kader Cemerlang serta Pingat Lencana Perak berdasarkan pencapaian dalam penilaian kursus.
“Bagi kategori Ujian Penembak Tepat Individu (Kumpulan 1), beliau turut mencatat keputusan membanggakan apabila menduduki tempat kedua daripada 38 penuntut,” menurut kenyataan itu.

Artikel berkaitan: “Sejarah Tercipta” – Pegawai Kanan TLDM Jadi Wanita Malaysia Pertama ‘Graduate’ Dari Akademi Laut AS
Artikel berkaitan: Remaja 19 Tahun Lari 10KM Balik Rumah Lepas Pulang Kerja Sebab Nak Masuk Tentera
Menurut TLDM, pencapaian itu mencerminkan tahap kompetensi, disiplin, ketahanan mental, ketelitian serta keupayaan pegawai untuk bersaing dalam persekitaran latihan ketenteraan antarabangsa yang kompetitif.
Jelasnya, pencapaian itu juga berpotensi menyumbang kepada peningkatan keupayaan latihan, perkongsian ilmu serta pembangunan kompetensi warga TLDM dalam bidang berkaitan.
“Pada masa yang sama, kejayaan ini memperkukuhkan imej profesionalisme ATM serta hubungan ketenteraan antara Malaysia dan negara luar.”
Sumber: Facebook TLDM
