in

Hari Cuci Malaysia 2026 Cipta Sejarah! Pecah 2 Rekod MBOR & Kumpul Lebih 89 Ton Bahan Kitar Semula Dalam Sehari!

Lm Featured Image 900 X 550 Px 2160 X 1080 Px 17

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Setiap kali ada program gotong-royong, mesti kita bayangkan aktiviti pembersihan kecil-kecilan di taman perumahan, kan? Tapi lain ceritanya dengan Hari Cuci Malaysia (HCM) 2026 yang berlangsung baru-baru ini!

Mana tidaknya, program anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ini bukan sahaja mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat Malaysia, malah berjaya memecahkan dua rekod baharu Malaysia Book of Records (MBOR) hanya dalam tempoh satu hari.


Dua Rekod MBOR Berjaya Dipecahkan!

Poster Tahniah Hcm 2026 1

Program yang dijalankan secara serentak di 469 lokasi di seluruh negara pada 26 September 2026 ini telah menyaksikan mobilisasi rakyat secara besar-besaran. 

Sasaran awal yang ditetapkan bagi program ini telah berjaya diatasi dengan pencapaian angka yang sangat membanggakan. 

Bagi kategori penyertaan peserta teramai, sasaran asal seramai 200,000 peserta telah diatasi apabila seramai 272,390 peserta turun padang di seluruh negara. 

Manakala bagi pengumpulan bahan kitar semula terbanyak dalam tempoh satu hari, sasaran awal sebanyak 28,000 kg telah dilampaui dengan jayanya apabila sebanyak 89,221.22 kg bahan kitar semula berjaya dikumpulkan. 

Sokongan 10,000 Sekolah & Pengiktirafan PAJSK

Dsc 9325

Apa yang lebih menarik, semangat kebersihan ini turut diterapkan kepada generasi muda! HCM 2026 mendapat sokongan padu daripada 10,000 buah sekolah di seluruh Malaysia.

Penyertaan murid-murid sekolah dalam program ini turut diiktiraf di bawah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK). Usaha ini secara tidak langsung mendidik murid-murid dari usia muda tentang kepentingan pengasingan sisa dan amalan kitar semula.

Semangat Gotong-Royong Rakyat Malaysia Masih Tebal 

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menegaskan bahawa kejayaan mencipta dua rekod MBOR ini merupakan bukti kukuh bahawa semangat gotong-royong dalam kalangan rakyat Malaysia masih tebal.

“Dua rekod yang kita cipta hari ini bukan sekadar tentang angka. Di sebalik angka ini ialah ratusan ribu rakyat Malaysia yang memilih untuk turun bersama-sama, membersihkan persekitaran dan mengitar semula demi negara yang lebih bersih dan lestari.”

Beliau turut memberi pesanan agar semangat ini tidak terhenti selepas program sehari sahaja sebaliknya perlu dilakukan secara berterusan. 

“Rekod boleh dicipta dalam sehari, tetapi budaya mengambil masa untuk dibina. Cabaran kita selepas ini ialah memastikan semangat Hari Cuci Malaysia diterjemahkan kepada amalan setiap hari iaitu jangan buang sampah, kurangkan sisa dan jadikan kitar semula sebahagian daripada kehidupan.”

Tindakan Kolektif Demi Malaysia Bersih & Sejahtera

Kejayaan HCM 2026 ini menggabungkan pelbagai pihak daripada agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan, hinggalah sukarelawan dan komuniti setempat.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia yang terlibat! Semoga amalan dan budaya menjaga kebersihan ini terus sebati dalam kehidupan seharian kita demi Malaysia yang lebih bersih, indah, dan sejahtera. 

 

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.