in

88 PBT Diiktiraf Sebagai Bandar Pintar, Malaysia Sasarkan 115 PBT Menjelang 2030

Lm Featured Image 900 X 550 Px 2160 X 1080 Px 68

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Bila sebut bandar pintar, mesti ada yang terus terbayang lampu jalan automatik, sistem trafik canggih atau semuanya boleh dibuat secara digital. 

Tapi sebenarnya, konsep bandar pintar bukan sekadar tentang penggunaan teknologi, sebaliknya bagaimana kemudahan ini boleh memudahkan urusan harian rakyat.


Terbaharu, sebanyak 88 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara telah memperoleh pengiktirafan di bawah Penarafan Bandar Pintar Malaysia sejak diperkenalkan pada 2023.

Lebih menarik, kerajaan menyasarkan sebanyak 115 PBT mencapai sekurang-kurangnya Tahap 1 menjelang 2030, selaras dengan usaha menjadikan Malaysia sebuah Negara Pintar menjelang 2040.

Perkara itu dimaklumkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi kenyataan media selepas Mesyuarat Majlis Bandar Pintar Negara (MBPN) Tahun 2026 yang dipengerusikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada Selasa. 

28 PBT Terima Pengiktirafan Baharu Tahun Ini

Bagi tahun 2026, sebanyak 28 PBT diperakukan untuk menerima pengiktirafan baharu berdasarkan piawaian Malaysia Standard (MS) ISO 37122:2019, iaitu Sustainable cities and communities Indicators for smart cities.

Daripada jumlah tersebut, satu PBT berjaya mencapai Tahap 3 iaitu Leading Smart City, sembilan PBT mencapai Tahap 2 sebagai Developing Smart City, manakala 18 PBT lagi berada pada Tahap 1 iaitu Smart City Early Adopter.

Penarafan ini menggambarkan tahap kemajuan PBT dalam menerapkan pendekatan bandar pintar berdasarkan indikator yang ditetapkan, selain menggalakkan penambahbaikan berterusan dalam pengurusan dan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Bagi PBT yang berjaya, penyampaian anugerah akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar bin Ibrahim pada 4 November 2026 sempena Sambutan Hari Perancang Bandar Sedunia Tahun 2026 di Auditorium Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Bukan PBT Sahaja, Kawasan Perbandaran Swasta Pun Dinilai

Usaha membangunkan bandar pintar ini turut diperluas kepada sektor swasta sejak 2025 menerusi penarafan Smart Township.

Untuk tahun ini, sebanyak 12 permohonan diterima daripada pemaju swasta dan lapan kawasan perbandaran berjaya memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Daripada jumlah tersebut, satu kawasan perbandaran memperoleh penarafan Platinum, empat menerima Gold dan tiga lagi mendapat Silver.

Penglibatan sektor swasta ini penting bagi melengkapi usaha kerajaan dalam membangunkan kawasan perbandaran yang lebih pintar, mampan dan selesa untuk didiami, termasuk dari segi pengurusan kemudahan serta perkhidmatan yang menyokong kehidupan seharian penduduk.

Bandar Pintar Bukan Sekadar Teknologi Canggih

Menurut Nga Kor Ming, penarafan bandar pintar merupakan instrumen penting untuk menggalakkan PBT meningkatkan keupayaan, memperkukuh tadbir urus dan menerapkan penggunaan teknologi dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau berkata, pembangunan bandar pintar perlu memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat dan bukan sekadar menumpukan kepada penggunaan teknologi semata-mata.

“Bandar pintar bukan sekadar tentang penggunaan teknologi, tetapi bagaimana teknologi dapat dimanfaatkan untuk memudahkan urusan rakyat, meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan mewujudkan persekitaran bandar yang lebih selamat, mampan serta selesa untuk didiami.

“KPKT akan terus memperkukuh agenda bandar pintar melalui kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, PBT dan sektor swasta bagi memastikan pembangunan bandar memberi manfaat kepada rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi Negara Pintar menjelang tahun 2040.”

Agenda Bandar Pintar Malaysia kini turut diangkat sebagai Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) Nasional, selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) dan Malaysia MADANI.

Pendekatan ini memberi penekanan kepada pembangunan bandar yang selamat, mampan, inklusif dan terangkum.

Akhirnya, bandar pintar bukan hanya tentang betapa canggihnya teknologi yang digunakan, tetapi sejauh mana kemudahan itu dapat menjadikan kehidupan rakyat lebih mudah, selamat dan selesa untuk generasi sekarang serta akan datang.

Sumber: Siaran media Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.