Biarpun tidak berjaya menembusi kelompok Top 5 Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-35, pelakon June Lojong tetap mendapat sokongan penuh daripada suaminya, Namron, yang menyifatkan isterinya itu sudah memenangi hati mereka yang menghargai bakatnya.
Menerusi satu perkongsian di Threads, Namron menitipkan kata-kata semangat buat June yang tidak tercalon dalam senarai lima terbaik anugerah berprestij tersebut.
Artikel berkaitan : “Cemana boleh lepas?” – [VIDEO] Filem Tempatan Didakwa Ada Unsur Lucah Terima Kritikan Netizen
Artikel berkaitan : Film Movement Angkat Karya Anak Tempatan Untuk Tayangan Di Amerika Utara
Menurut pelakon berpengalaman itu, pengiktirafan menerusi anugerah bukanlah segala-galanya dalam perjalanan seseorang anak seni. Sebaliknya, peluang untuk mengetengahkan kemampuan lakonan serta ruang untuk terus berkarya merupakan perkara yang lebih penting.
Malah, Namron turut berpandangan bahawa kemenangan di majlis anugerah kebiasaannya diraikan dalam tempoh singkat sebelum perhatian orang ramai beralih kepada perkara lain.
View on Threads
“Walaupun tidak tercalon di FFM 35, dia tetap menang di hati saya. Berdasarkan pengalaman saya, anugerah hanya diraikan sehari dua, selepas itu akan dilupakan. Apa yang lebih penting adalah peluang untuk pamerkan ‘crafts’ dan ruang untuk berkarya.
“Di media sosial banyak juga yang mempersoalkan kenapa dia tidak dicalonkan. Tragedi Oktober, ‘Daylight Robbery’, Pemenang Di Hati Kami dan macam-macam lagi kenyataan yang keluar.”
“Terima kasih kepada yang menghargai bakatnya. Sokongan anda semua sudah cukup bagi kami kerana itu adalah hadiah kemenangan tanpa bertanding,” tulisnya.
Dalam masa sama, Namron turut mengakui kehebatan barisan pelakon yang berjaya melayakkan diri ke Top 5 FFM 35. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua calon yang terpilih, selain mengingatkan orang ramai supaya menghormati keputusan yang dibuat oleh juri profesional.
“Calon-calon dalam Top 5 pun bukan calang-calang hebatnya. Tahniah buat semua yang tercalon.
“P/S, tolong hormati pemilihan dibuat oleh juri profesional. Mereka lebih arif untuk menentukan siapa yang layak,” katanya.
Untuk rekod, June sebelum ini mencuri perhatian menerusi lakonannya dalam filem Polong arahan Zulkarnain Azhar dengan membawakan watak Maria Hadi.
Menerusi watak yang diinspirasikan daripada kisah benar itu, June berjaya menghidupkan karakter seorang wanita yang pernah terjerumus dalam amalan ilmu hitam sebelum berusaha mencari keampunan pada penghujung hayatnya.
Sumber: Harian Metro
