Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40) bakal melakar sejarah baharu menerusi penganjuran yang lebih gah dan berprestij. Memasuki ulang tahunnya yang ke-40, anugerah ikonik ini tampil dengan tema “Meraikan 4 Dekad: Evolusi dan Masa Depan Muzik Malaysia” berserta mesej “Love Your Legacy, Elevate Your Future” bagi meraikan perjalanan muzik tempatan sambil memberi ruang kepada generasi baharu.
Menerusi majlis AJL40: The First Look, TV3 mengumumkan pengiktirafan khas Anugerah Ikon AJL40 kepada Faizal Tahir dan Hael Husaini. Kedua-dua figura ini diiktiraf atas impak dan sumbangan besar mereka sebagai penyanyi, komposer, penulis lirik, dan mentor yang banyak mencorakkan landskap serta ekosistem muzik tanah air.
Artikel berkaitan: Thalita Menangis Ketika Marsha Nyanyi Lagu Hening Rindu, Shuib Tampil Perjelaskan Sebab
Artikel berkaitan: 4 Tahun ‘Straight’ Teka Betul, Neelofa Ramal Lagu ‘Semalam’ Aina Abdul Juara #AJL35
Senarai finalis AJL40:
- Kamu – Aina Abdul (Komposer & Lirik: Aina Abdul)
- Lemah – Dayang Nurfaizah (Komposer & Lirik: Hael Husaini)
- Tangisan Seorang Pendosa – Marsha Milan (Komposer: Marsha Milan / Lirik: Hazama)
- Tak Adil – Aisha Retno (Komposer: Aisha Retno, Radi / Lirik: Aisha Retno)
- Nurcinta – Amir Masdi (Komposer & Lirik: Amir Masdi, Edry Abd. Halim)
- Semacam Pandora – Hazama (Komposer: Hazama, Zimi, Genervie Kam, Ritz Metalasia / Lirik: Zel Hadauan)
- Cak Cak Cekuk – Wani Kayrie (Komposer & Lirik: Karim Karam, Shane Kennedy, Iqie Hugh)
- Ke Mana Ni – Luca Sickta, Kmy Kmo & Salammusik (Komposer & Lirik: Kmy Kmo, Luca Sickta, Salam)
- Tiwikarma – K.O.I (Komposer: Zai Hamzah, Hemo Globin / Lirik: Achoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana, Sapik Sam)
- Lumangad Oku Dika – Ryenald Guntabid (Komposer & Lirik: Ryenald Guntabid)

Bagi memberikan sentuhan muzik bertaraf dunia, komposer tersohor Aubrey Suwito dilantik sebagai Pengarah Muzik AJL40. Pentas utama bakal dikendalikan semula oleh gandingan Naz Rahman dan Sissy Imann, manakala Fizi Ali serta Fiza Frizzy pula membawakan kemeriahan di karpet merah dan belakang pentas.
Sempena edisi jubli ini, pelbagai program menarik turut disusun buat para peminat. Antaranya ialah penganjuran julung kali Muzik Lab di McDonald’s Pantai Sentral Park, serta siri jelajah Meet & Greet Yang Ke-40 bersama barisan finalis yang dibawakan khas oleh McDonald’s Malaysia dan RMHC Malaysia. Jelajah ini akan menemui peminat di Ipoh, Kuantan, Johor Bahru, dan berakhir di Kuala Lumpur.
Malam kemuncak AJL40 bakal bersiaran secara langsung dari Unifi Arena, Bukit Jalil pada 15 Ogos 2026 (Sabtu), jam 9.00 malam menerusi TV3 dan Tonton. Tiket bagi menyaksikan acara berprestij ini boleh didapatkan menerusi www.wowtix.com.my.
Sumber: TV3
