in

Gara-Gara Dakwaan Tak Ada Sijil Pendidikan Sah, Jawatan Timbalan Presiden Indonesia Gibran Terbatal Automatik?

Syaz Ft 1

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Isu kelayakan akademik Timbalan Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka, nampaknya kembali menjadi perbualan hangat di media sosial apabila kedudukannya sebagai Timbalan Presiden negara itu didakwa kini tidak sah dan terbatal secara automatik dari sudut undang-undang.

Kenyataan lantang itu dikeluarkan sendiri oleh Ahli Komisi III DPR RI daripada Fraksi Partai Demokrat, Benny K. Harman.


Menurut Benny, timbul penemuan hukum baharu selepas Mahkamah Agung (MA) Indonesia mengabulkan permohonan kasasi (rayuan) yang membatalkan Surat Keterangan (Suket) Penyetaraan Ijazah Setaraf Sekolah Menengah (SPM) milik Gibran.

Artikel berkaitan: “Suka-suka je nak pegang” – Tangan Aisar Khaled Ditepis ‘Bodyguard’ Naib Presiden Indonesia

Artikel berkaitan: Prabowo Subianto Angkat Sumpah Sebagai Presiden Indonesia Kelapan

Images 5

Keputusan berkenaan sekali gus memperkukuh penemuan terdahulu di Mahkamah Perlembagaan (MK) yang mendapati tiada bukti kukuh menunjukkan Gibran mempunyai sijil kelulusan sekolah menengah yang sah ketika mendaftar sebagai calon Timbalan Presiden.

Benny mendedahkan bahawa isu ini menjadi persoalan utama yang diajukan oleh kalangan ahli akademik, aktivis mahasiswa, dan tokoh masyarakat sewaktu beliau turun padang mengadakan kunjungan mesra bersama pengundi di kawasan parlimennya.

“Mengikut undang-undang, sekiranya benar keputusan Mahkamah Perlembagaan menyatakan Timbalan Presiden Mas Gibran tidak mempunyai sijil sekolah menengah atau setaraf dengannya sewaktu mendaftar sebagai calon, dan kini diperkukuh lagi dengan keputusan Mahkamah Agung yang membatalkan surat keterangan penyetaraan tersebut, maka ia memberi kesan hukum yang sangat besar,” jelas Benny menerusi akaun media sosialnya.

Tambah beliau lagi, gugurnya keabsahan dokumen pentadbiran yang menjadi syarat asas pendaftaran calon secara automatik merampas keabsahan mandat jawatan yang dipegangnya sekarang.

“Apa maksudnya? Dengan dua keputusan mahkamah ini, kedudukan Mas Gibran sebagai Timbalan Presiden adalah tidak sah dan secara hukumnya terbatal secara automatik.

Bukan dibatalkan, tetapi batal demi hukum. Itulah undang-undangnya, itulah peraturannya,” tegasnya.

Beliau turut menambah bahawa pembatalan status jawatan berkenaan berkuat kuasa secara automatik sebaik sahaja keputusan rayuan Mahkamah Agung dibacakan.

Bagaimanapun, Benny menggariskan bahawa pandangan yang diutarakannya itu merupakan pendapat peribadi atas kapasitinya sebagai wakil rakyat di parlimen, dan bukannya mewakili pendirian rasmi partinya.

Berdasarkan maklumat Sistem Informasi Penelusuran Perkara (SIPP), keputusan rayuan tersebut telah dimuktamadkan oleh panel hakim Mahkamah Agung pada hujung Oktober lalu dengan mengabulkan kesemua tuntutan pemohon, Subhan Palal.

Dalam dokumen permohonannya, pemohon mendesak agar mahkamah mengisytiharkan surat penyetaraan pendidikan Gibran tidak sah serta memerintahkan dokumen tersebut ditarik balik dengan kadar segera.

Keputusan ini sekali gus menguatkan pertimbangan mahkamah sebelum ini yang menegaskan bahawa dokumen Certificate of Attendance yang dimiliki oleh anak bekas Presiden Jokowi itu sebenarnya hanyalah bukti kehadiran kelas, dan bukannya sijil kelulusan sekolah menengah yang sah mengikut kriteria undang-undang.

Sumber: Tribun News

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.