Isu panas mengenai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dr Khairuddin Aman Razali yang dikatakan tidak mematuhi SOP COVID 19 dengan melanggar tempoh kuarantin 14 hari nampaknya masih lagi tidak henti diperkatakan ramai.
Terbaru semalam, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man bertindak mempertahankan Dr Khairuddin apabila dia mempersoalkan beberapa individu lain yang juga berulang alik ke luar negeri namun tidak menjalani tempoh kuarantin, lapor Malaysiakini.
“Tiap-tiap hari lori bawa sayur masuk Singapura, kena kuarantin ke tak? Tak kena kuarantin. Balik Singapura masuk Malaysia kena kuarantin ke tak? Tak kena.
“Pilot (juruterbang) kena kuarantin ke tak? Pilot hak (yang) bawa kapal terbang, masuk negara ‘nun‘ 14 hari masuk negara ini 14 hari tidak kena kuarantin,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kuliah subuh yang disiarkan di Facebook terdahulu.
https://www.facebook.com/ustaztitm/videos/618066142185513/?v=618066142185513&external_log_id=f52a550a-7338-4823-bd60-3dc8dbd7bce6
Tambah Tuan Ibrahim lagi, apa yang paling penting, meskipun Khairuddin tidak melakukan kuarantin wajib selama 14 hari selepas pulang dari Turki, namun dia bebas daripada Covid-19 dan tidak menyebarkan wabak berkenaan.
Walau bagaimanapun, Tuan Ibrahim meminta orang ramai untuk terus mematuhi peraturan yang dibuat kerajaan bagi mengekang penularan wabak berkenaan.
“Dia (Khairuddin) balik tak kuarantin, tak kurung diri di rumah tapi dia test (ujian saringan Covid-19) tiga kali, tak ada (negatif Covid-19),” katanya lagi.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan Khairuddin dikompaun maksimum sebanyak RM1,000 kerana tidak melakukan kuarantin kendiri selepas pulang dari luar negara.