Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin telah memfailkan saman terhadap Global Ikhwan Service and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH) dengan tuntutan sebanyak RM10 juta kerana didakwa memfitnah beliau hendak menjatuhkan perniagaan syarikat itu.
Saman yang difailkan pada 1 Oktober lalu, beliau yang juga dikenali serbagai Dr Maza selaku plaintif tunggal, turut menamakan Timbalan Ketua Pengarah Pentadbiran GISBH, Mokhtar Tajuddin, sebagai defendan kedua.
Artikel berkaitan : Gelaran Datuk CEO GISBH Ditarik Serta Merta – Kerajaan Negeri Melaka
Artikel berkaitan : Ummu Atiyah Ambil Masa 30 Minit Tunjuk Lokasi Dikurung Di Perkampungan GISBH
Menerusi pernyataan tuntutan yang difailkan melalui firma guaman, Tetuan Faizal Rahman & Co, Dr Maza mendakwa defendan pertama (GISBH) telah mengeluarkan kenyataan fitnah menerusi satu hantaran di Facebook rasmi milik defendan pertama atas nama GISB Holdings Sdn Bhd berserta sebuah poster untuk tontonan umum pada 28 Ogos lalu.
Menurut Dr Maza lagi, dalam satu sidang media pada 29 Ogos, defendan didakwa ada mengeluarkan kenyataan yang membawa maksud dirinya memfitnah dan menyebarkan pernyataan palsu, selain menimbulkan persepsi buruk mengenai syarikat berkenaan.
Ia menggambarkan bahawa seolah-olah beliau memfitnah organisasi berkenaan dan mempunyai niat untuk menjatuhkan perniagaan defendan.
Malah, ketika kenyataan tersebut disiarkan, Dr Maza mengatakan bahawa beliau ada terima surat daripada GISBH yang mendakwa beliau telah memfitnah mereka.
Dakwa Dr Maza, surat tersebut membawa maksud bahawa beliau menuduh defendan pertama tanpa usul periksa dan membuat dakwaan palsu.
“Kenyataan berbaur fitnah itu kemudian diulang pada sidang media oleh GISBH yang disiarkan melalui Facebook Live dan Ikhwan TV.”
“Tindakan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah di laman sosial terbabit pada sidang media itu menyebabkan saya ‘dibicarakan oleh orang awam’.”
“Ia juga telah menafikan hak saya untuk menjawab surat tuntutan oleh GISBH.”
Disebabkan itu, Dr Maza meminta defendan membayar ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan sebanyak RM10 juta, ganti rugi am, kos, faedah serta memohon relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Beliau turut mohon agar defendan membuat draf permohonan maaf kepadanya dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman dan menerbitkan draf terbabit antaranya dalam akhbar Utusan Malaysia, Sinar Harian, Berita Harian, New Straits Times dan Facebook defendan secara bertulis selama 30 hari.
Dr Maza juga memohon defendan untuk padam segala kenyataan fitnah terhadap dirinya di semua jenis platform media sosial dan laman sesawang bawah kawalan defendan.
Sumber : Berita Harian