Negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad berdepan detik paling sukar susulan pemergian isteri tercintanya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali semalam.
Menurut anaknya, Datuk Marina Mahathir, bekas Perdana Menteri itu berada dalam keadaan sihat, namun masih bersedih dan merasai kehilangan teman hidup yang sentiasa berada di sisinya selama tujuh dekad.
Marina berkata, semua ahli keluarga kini bergilir-gilir menemani bapanya agar beliau tidak bersendirian menghadapi saat duka itu.
“Memang ayah sedih. Ini partner selama 70 tahun. Dia cuma rasa kesunyian.
“Jadi kami semua cuba menemani dia sebanyak yang boleh, siang dan malam,” katanya.
Artikel berkaitan: 70 Tahun Bersama, 6 Moment Sweet Ini Membuktikan Tun M & Tun Dr Hasmah ‘Power Couple’ Di Malaysia
Artikel berkaitan: Bukan Sekadar Nama, MAHA Klinik Saksi Cinta Tun Dr Mahathir Kepada Tun Dr Hasmah
Tambah Marina, kehilangan Tun Hasmah bukan hanya dirasai Tun Mahathir, malah seluruh keluarga masih sukar menerima hakikat bahawa insan yang selama ini sentiasa ada di rumah kini telah pergi buat selama-lamanya.
“Dia rasa sangat keseorangan sekarang, macam mana tidak sedih, ini pasangan dia selama 70 tahun.
“Kami semua rindukan ibu, kami sudah biasa melihatnya di rumah, tetapi sekarang susah nak percaya dia sudah tiada,” ujarnya.

Dalam masa sama, Marina turut menzahirkan penghargaan kepada ribuan rakyat Malaysia yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah di masjid dan tanah perkuburan.
Beliau yang menerima ratusan mesej takziah sehingga kini tidak berkesempatan untuk membalas semuanya.
“Ada yang saya kenal dan ada yang tidak, tetapi mereka memberikan penghormatan kepada ibu kerana mereka anggap ibu saya sebagai ibu mereka juga.”
Ditanya mengenai keadaan Tun Dr Mahathir, Marina berkata bapanya masih menerima kunjungan orang ramai, namun jumlah tetamu perlu dikawal supaya tidak terlalu ramai pada satu-satu masa.
Sumber: Berita Harian
