Jemaah Menteri memutuskan bahawa caruman bagi Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kini bertukar status kepada sukarela bagi semua pekerja tempatan berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan memaklumkan, keputusan tersebut diambil selepas kerajaan meneliti dan mempertimbangkan segenap pandangan yang dikemukakan oleh rakyat.

Walau bagaimanapun, kewajipan mencarum di bawah skim ini kekal mandatori buat golongan pekerja asing mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Artikel berkaitan: Perluasan Perlindungan 24 Jam Untuk Lebih 9 Juta Pekerja, Berkuatkuasa Mulai 1 Jun 2026
Artikel berkaitan: Lebih 2,000 Peluang Kerjaya Menanti Rakyat Johor Sempena Karnival Lindung Kerjaya MADANI Anjuran PERKESO
Langkah baharu ini memberi ruang dan pilihan sepenuhnya kepada tenaga kerja tempatan untuk mencarum berdasarkan keperluan serta pertimbangan masing-masing.
Manakala butiran mengenai mekanisme pelaksanaan serta proses penyertaan sukarela tersebut bakal diumumkan oleh pihak PERKESO dalam tempoh terdekat.
Meskipun statusnya kini adalah secara sukarela, PERKESO menegaskan bahawa Skim LINDUNG 24 Jam tetap menjadi satu inisiatif penting.
Skim ini menyediakan perlindungan keselamatan sosial sekiranya pekerja mengalami kemalangan di luar waktu dan tempat kerja, termasuk ketika menjalankan aktiviti harian.
Menjelang penghujung tahun ini, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan menilai semula keberkesanan, hala tuju dasar, serta kemampanan dana pelaksanaan skim berkenaan.
Sekiranya perlu, hasil penelitian itu akan dibentangkan ke Parlimen bagi cadangan pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
Sumber: KESUMA
