Di sebalik kemewahan dan kilauan dunia hiburan, siapa sangka ada sebilangan penggiat seni tanah air yang sebenarnya sedang bertarung dengan krisis kewangan serius.
Terbaharu, Jabatan Insolvensi Malaysia mendedahkan seramai 29 selebriti tempatan kini berada dalam senarai individu berstatus bankrap selepas gagal melunaskan hutang yang mencecah jutaan ringgit.
Artikel berkaitan: Boros Sampai Bankrapkan Negara Sendiri! Ini 7 Raja Paling Teruk & Kejam Dalam Sejarah Dunia
Artikel berkaitan: “Bakal jadi barang pusaka” – Jenama Pilihan Mak-Mak Tupperware Bakal Fail Bankrap
Menurut Pengarah Insolvensi Bahagian Kebankrapan, Fajrul Shihar Abu Samah, tekanan emosi akibat diburu institusi kewangan saban hari menjadi punca utama gred dan nama besar dalam industri ini akhirnya mengambil langkah untuk tampil secara sukarela kepada pihak jabatan.

“Ada antara mereka yang datang terus berjumpa dengan kami sebab dah tak tahan diburu institusi kewangan.
Bila mereka ‘menyerah diri’, ia memudahkan kami mentadbir hutang-hutang tersebut. Jabatan Insolvensi sebenarnya bertindak sebagai pelindung atau orang tengah antara penghutang dan pemiutang,” jelas beliau.
Apa yang mengejutkan, individu yang tersenarai bukannya calang-calang nama. Antaranya merangkumi artis bertaraf legenda, pelakon veteran, penerima pelbagai anugerah, hingga ke bekas finalis Hero Remaja yang masih aktif dalam industri.
Sanggup Bayar Lebih Bila Ada ‘Job’
Meskipun terpaksa berdepan hakikat pahit diisytiharkan muflis, pihak Jabatan Insolvensi memuji komitmen serta sikap bertanggungjawab yang ditunjukkan oleh kumpulan selebriti ini.
Sejak tahun 2012, seramai 66 selebriti pernah disenaraikan muflis. Namun, hasil bimbingan dan khidmat nasihat, lebih separuh daripadanya berjaya membersihkan nama, meninggalkan baki 29 orang sahaja setakat ini.
Malah, ada yang sanggup membayar jumlah lebih daripada kadar bulanan yang ditetapkan setiap kali mendapat tawaran kerja atau rezeki lebih.
Walaupun punca terperinci tidak didedahkan, kebiasaannya kes kebankrapan berpunca daripada masalah pengurusan kewangan yang lemah serta kegagalan mengurus pinjaman peribadi dan aset.
Sumber: Kosmo!
