Sepasang pelajar kolej berusia 19 tahun ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes kematian seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemui di dalam mangkuk tandas sebuah rumah sewa di Taman Setia Mutiara, Kluang, Johor.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihak polis menerima laporan kira-kira jam 1 tengah hari Rabu selepas seorang pelajar perempuan dimasukkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, Kluang.
Pelajar berkenaan dikatakan menghubungi gurunya sejurus selepas melahirkan bayi sebelum guru terbabit membawanya ke hospital untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan, pelajar itu telah melahirkan bayi dan terdapat satu lagi bayi perempuan dalam kandungannya.
“Siasatan lanjut di rumah sewanya menemui mayat bayi perempuan yang sudah meninggal dunia,” katanya.
Artikel berkaitan: “Masih bertali pusat” – Bayi Baru Lahir Ditinggalkan Di Gerai Makan, Penuntut IPT Ditahan Polis
Artikel berkaitan: Remaja Ceritakan Kembali Pengalaman Selamatkan Bayi Dibuang Di Kawasan Tong Sampah

Temui beberapa kesan tikaman
Lebih menghibakan, pemeriksaan awal terhadap mayat bayi tersebut menemui beberapa kesan tikaman pada tubuh mangsa, namun punca sebenar masih dalam siasatan.
“Tindakan susulan telah menahan seorang pelajar lelaki berusia 19 tahun yang disyaki teman lelaki pelajar perempuan itu bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Pasangan pelajar itu kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 315 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan atau cuba menyebabkan kematian bayi yang baru dilahirkan.
Sumber: Sinar Harian
