Aktres jelita dan juga usahawan, Fazura memohon orang ramai agar menghentikan segala bentuk provokasi, fitnah serta cacian yang berterusan terhadap dirinya.
Menerusi satu sesi siaran langsung di TikTok, Fazura berkata dia hanya mahu diberikan ruang untuk membesarkan anak tunggalnya, Nur Fatima Aisya, dalam suasana tenang dan harmoni.
Mengulas mengenai hubungan bersama bekas suami, Fazura menjelaskan mereka telah mencapai persetujuan untuk mengamalkan konsep co-parenting demi memastikan Fatima terus membesar dalam persekitaran yang penuh kasih sayang.
“Saya dan daddy Fatima (Fattah Amin), kami berdua adalah ibu bapa kepada Fatima. Jadi, banyak lagi momen yang mungkin kami akan rakam sebagai kenangan untuk Fatima.
“Saya harap semua raikan dan mendoakan yang baik-baik sahaja untuk Fatima. Kalau tiada benda elok nak cakap, hentikan. Jangan ganggu proses ini di mana kami berdua nak ‘co-parenting’ sebaik-baiknya untuk Fatima.
“Harap tiada lagi sesiapa di luar sana mencampuri atau mengganggu niat baik kami demi keharmonian Fatima dan yang terlibat ialah mommy Fatima, daddy Fatima dan Fatima sahaja, tiada orang lain,” katanya lagi.
@kienaskeyn Jgn biar Faz bersedih lg…😭🫶 #Fazura #QueHaidar #Fazura
Dalam nada sebak, pelakon berusia 43 tahun itu mengakui dia kini perlu kuat sebagai ibu tunggal yang bekerja demi membesarkan anaknya.
Katanya, apa sahaja yang dilakukan selepas ini adalah semata-mata untuk kebahagiaan Fatima dan bukannya mempunyai kaitan dengan mana-mana pihak lain.
“Saya adalah ibu tunggal dan bekerja. Saya perlu besarkan anak saya dengan mental yang baik dan ketenangan. Tolong jangan ganggu saya lagi. Cukuplah, saya dah lalui terlalu banyak.
“Tidak kira apa pun terjadi, bermula sekarang saya dan Fatima akan sentiasa berdua untuk mengharungi semuanya. Biarkan saya membesarkan Fatima sebaik-baiknya, dengan tenang dan harmoni.”
Artikel berkaitan: “Dia bukan objek, dia anak saya!” – Fazura Luah Rasa Terkilan Lepas Tonton Video Tular
Artikel berkaitan: “Tiada sebab dikenakan tindakan” – Fazura Tak Langgar Hak Lawatan, Mahkamah Tolak Permohonan Fattah Amin
Dalam masa sama, Fazura turut mengingatkan bahawa soal jodoh adalah ketentuan Allah dan berharap para peminat dapat menerima hakikat bahawa rumah tangganya bersama Fattah Amin sudah berakhir.
“Saya perlu gembira, sihat dan bekerja untuk besarkan anak sebaik-baiknya. Itu sahaja yang saya harapkan,” katanya.
Topik berkaitan Fazura dan Fattah mula diperkatakan selepas perkongsian di Instagram milik Fatima mengenai sambutan hari kebudayaan di sekolahnya, diserikan dengan kehadiran kedua-dua ibu bapanya itu.
Sumber: Harian Metro, TikTok
