Malaysia terus memperkukuh komitmennya dalam membangunkan ekosistem digital yang selamat dan dipercayai menerusi penganjuran International Regulatory Conference (IRC) 2026 yang berlangsung selama dua hari di Shangri-La Kuala Lumpur.
Persidangan yang dirasmikan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil itu menghimpunkan pengawal selia, pembuat dasar, pemimpin industri, ahli akademik serta rakan antarabangsa bagi membincangkan masa depan regulasi digital.

Dalam ucapan perasmiannya, Fahmi berkata tema “Shaping the Next Digital Era: Regulation, Resilience and Trust” amat bertepatan dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat serta keperluan meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap platform digital.
Artikel berkaitan: Isu Buli Siber, Kesihatan Mental Dan Kawalan AI Bakal Dikupas Oleh Pakar Global Di Persidangan IRC MCMC 2026
Artikel berkaitan: MCMC Terbit Dua Kod Baharu ONSA: Komitmen Tegas Lindungi Kanak-Kanak & Pengguna Dalam Talian
Beliau berkata Malaysia terus memperkukuh transformasi digital menerusi pelaksanaan JENDELA, peluasan rangkaian 5G dan pelaburan dalam infrastruktur digital. Menurutnya, kejayaan digital bukan hanya diukur melalui kelajuan internet atau pelaburan, tetapi sejauh mana ia mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Sepanjang persidangan, pelbagai isu seperti keselamatan dalam talian, tadbir urus data, kecerdasan buatan (AI), komunikasi kuantum dan masa depan regulasi digital akan dibincangkan. Fahmi turut menegaskan kepentingan kepercayaan, akauntabiliti dan daya tahan sebagai asas utama dalam membentuk ekosistem digital yang lebih selamat.

Beliau berkata cabaran teknologi masa depan memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, pengawal selia, industri dan rakan antarabangsa, selain berharap IRC 2026 dapat menghasilkan dasar serta penyelesaian praktikal yang memberi manfaat kepada pembangunan digital di peringkat nasional dan global.
Sumber: MCMC
