Pegawai polis wanita yang tular di media sosial baru-baru ini telah didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas tiga pertuduhan mengugut dan mengaibkan kehormatan seorang anggota polis berpangkat lans koperal dan dua orang awam.
Wanita yang dikenali sebagai Inspektor Sheila atau nama penuhnya, Sheila Sharon Steven Kumar, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di atas ketiga-tiga tuduhan berkenaan.
Tak pernah terima surat penggantungan
Mengulas tentang berita bahawa beliau telah digantung tugas, Sheila mendakwa setakat hari ini dia tidak pernah menerima sebarang surat penggantungan daripada pasukan keselamatan itu.
Katanya, kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 22 Jun lalu mendakwa dia digantung tugas memang mengejutkannya.
“Saya tidak pernah digantung kerja. Sebab itu saya terkejut, kenapa Menteri Dalam Negeri mengeluarkan kenyataan sedangkan sehingga hari ini, saya tidak menerima sebarang surat penggantungan,” dakwanya ketika ditemui selepas prosiding mahkamah.
Sementara itu, beliau bersama peguamnya, M Manoharan turut mengesahkan mereka tidak akan menghantar sebarang representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk menyemak kembali pertuduhannya.
“Kami mahu keadilan. Saya tidak akan bertolak ansur dengan ini (tuduhan).
“Saya tidak akan menghantar representasi, dan kami akan berjuang sehingga akhir,” katanya.
Menurut Manoharan, anak guamnya adalah seorang pegawai yang bersih, jujur dan berdedikasi yang sememangnya berpotensi.
Beliau juga berkata, bapa tertuduh juga pernah berkhidmat selama 39 tahun PDRM dengan pangkat terakhir sebagai Asisten Superintendan sementara adik tertuduh juga berkhidmat dalam pasukan beruniform itu.
Baca: Lepas 3 Kali Viral Buat Kecoh, ‘Inspektor Sheila’ Akhirnya Digantung Tugas