Belanjawan 2026 baru sahaja dibentangkan pada hari ini. Tentunya, semua rakyat Malaysia menanti untuk mengetahui apakah intipati kepada pembentangan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan kita yang juga merangkap kepada Perdana Menteri kita yang ke-10 iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Dengan tema ‘Belanjawan Rakyat’, Belanjawan 2026 dibentangkan untuk menumpukan kepada kesejahteraan rakyat melalui bantuan bersasar, peluang ekonomi dan inisiatif komuniti. Tahun ini, kerajaan telah memperuntukkan jumlah tertinggi dalam sejarah negara iaitu sebanyak RM470 bilion dengan matlamat memastikan setiap sen dibelanjakan memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Berikut adalah antara intipati yang dibentangkan dalam pembentangan hari ini.
Penyasaran subsidi
Kerajaan menegaskan bahawa subsidi mesti sampai kepada rakyat Malaysia dan bukan kepada warga asing atau syarikat besar. Melalui pelaksanaan subsidi bersasar, negara dijangka dapat menjimatkan RM15.5 bilion setahun dan penjimatan ini disalurkan semula dalam bentuk bantuan tunai dan inisiatif kos sara hidup.
Antara langkah utama adalah:
- Harga ayam diapungkan: Langkah ini menjimatkan RM1 bilion, namun kerajaan tetap mengekalkan harga ayam terkawal bagi mengelak kesan besar kepada pengguna.
- Harga telur diapungkan: Langkah ini turut menjimatkan RM1 bilion, di samping tidak menjejaskan bekalan dalam pasaran.
- Subsidi dan penstrukturan tarik elektrik: Penjimatan sebanyak RM6 bilion dapat dicapai, di samping 85% pengguna tidak dikenakan kenaikan tarif, malah masih boleh menikmati bil lebih rendah.
- Subsidi diesel: Langkah ini menjimatkan sebanyak RM5 bilion. Sektor seperti pengangkutan awam, nelayan dan logistik tertentu masih kekal menerima harga diesel bersubsidi. Selain itu, bantuan tunai RM200 sebulan turut diberikan kepada pemilik individu, petani dan pekebun kecil yang layak.
- Subsidi petrol RON95: Langkah ini menjimatkan RM2.5 bilion, di samping mengekalkan harga minyak RM1.99 seliter di bawah program BUDI95. Setakat ini, lebih 10 juta rakyat telah menerima manfaatnya.
Kerajaan juga sedang mengemas kini pangkalan data 16.5 juta rakyat yang layak, termasuklah 23,000 pemilik perahu berdaftar dan 52,000 pemandu e-hailing aktif yang akan menerima kuota tambahan bahan api bersubsidi.
Artikel Berkaitan: Ini Senarai Pelepasan Cukai Individu Di Bawah Belanjawan 2026 – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: Rakyat Malaysia Bakal Terima Bantuan SARA RM100 Buat Kali Kedua Menjelang Februari 2026 – Lobak Merah
Ikhtiar MADANI Untuk Rakyat
Bagi memperkukuh ekonomi tempatan, kerajaan memperuntukkan RM1 bilion untuk memperluas ‘Ikthiar MADANI Untuk Rakyat’ iaitu program yang bantu komuniti menjana pendapatan sendiri.
Antara insiatif utama adalah:
- Sejati MADANI: Dana hingga RM100,000 setiap kampung bagi projek ekonomi seperti kolam memancing, pertanian moden dan mesin layan diri.
- Kampung dan Sekolah angkat MADANI: Disasar meningkat kepada 500 kampung dan 1,500 sekolah, termasuk penglibatan syarikat swasta.
- Solar MADANI: Selepas kejayaan pemasangan 4,000 lampu solar di Sabah, program kini diperluas ke seluruh negara.
- Sejahtera MADANI: Dana terkumpul RM210 juta hasil sumbangan sektor swasta bagi menoktahkan kemiskinan tegar.
Menariknya, syarikat atau individu yang menyumbang kepada projek-projek MADANI ini akan layak mendapat potongan cukai pendapatan.
Perkhidmatan Bergerak MADANI
Bagi memastikan rakyat di kawasan luar bandar dan pedalaman tidak ketinggalan menikmati kemudahan kerajaan, kerajaan memperuntukkan lebih RM110 juta untuk memperluas program ‘Perkhidmatan Bergerak MADANI’ iaitu satu inisiatif yang membawa perkhidmatan terus ke kawasan luar bandar tanpa perlu rakyat ke bandar.
Antara perkhidmatan yang disediakan adalah:
- Penuntut universiti awam bidang sains, kejuruteraan, perubatan dan kejururawatan turun ke kampung-kampung memberi khidmat dukungan kepada rakyat seperti pembaikan, saringan kesihatan dan pembudayaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di sekolah.
- Perkhidmatan Komuniti Bergerak Sabah dan Sarawak diperluas ke 19 kawasan baharu, termasuklah Kampung Karamuak, Sabah dan Telang Usan, Sarawak.
- Bank Simpanan Nasional (BSN) menambah lagi empat bank bergerak, menjadikan 20 unit bagi memudahkan rakyat pedalaman Sabah, Sarawak, Pahang dan Perak, khususnya lebih 1 juta penerima STR.
- Mahkamah Bergerak juga diperluas meliputi Mahkamah Buruh Bergerak dan Mahkamah Kanak-Kanak Bergerak yang menyediakan bilik saksi mesra kanak-kanak serta kenderaan ubah suai sebagai bilik bicara serba lengkap.
Tahun Melawat Malaysia 2026
Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, kerajaan turut memperkenalkan pelepasan cukai khas individu sehingga RM1,000 untuk rakyat Malaysia yang melancong dalam negara.
Pelepasan ini meliputi perbelanjaan seperti:
- Bayaran fi kemasukan ke pusat pelancongan tempatan seperti taman tema, muzium, galeri atau taman negara
- Tiket untuk program kebudayaan, persembahan seni atau aktiviti warisan tempatan.
Maknanya, kalau korang pilih untuk bercuti dalam Malaysia, sebahagian daripada kos tiket dan fi kemasukan boleh ditolak daripada cukai pendapatan tahun tersebut.
Langkah ini adalah untuk menggalakkan orang ramai menyokong ekonomi tempatan di samping meringankan beban rakyat yang ingin bercuti.
Kerajaan juga akan terus menjaga kebajikan pemandu teksi dan kereta sewa persendirian dengan dua langkah utama iaitu:
- Pengecualian 100% duti eksais dan cukai jualan bagi pembelian kereta nasional baharu Proton atau Perodua oleh pemandu teksi dan kereta sewa.
- Dana latihan RM10 juta melalui HRD Corp untuk menganggung kos kursus dan elaun latihan peningkatan kemahiran kepada pemandu teksi berlesen yang mencarum.
Peluang kerja dan latihan
Kerajaan meningkatkan peruntukan untuk pendidikan dan latihan TVET kepada RM7.9 bilion, bertujuan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan kemahiran tinggi kepada rakyat tempatan.
Antara insiatifnya adalah:
- HRD Corp menawarkan 3 juta peluang latihan dalam bidang teknologi, tenaga hijau dan digital.
- GiatMARA memberi latihan kepada lebih 13,000 golongan tumpuan termasuk pekerja gig, supaya mereka ada kemahiran tambahan dan boleh beralih kepada kerja lebih stabil.
- Kolej Komuniti juga menyediakan program pembelajaran untuk OKU, ibu tunggal, warga emas dan Orang Asli supaya tiada golongan tertinggal.
Bagi pelatih muda, kerajaan juga menambah dana RM650 juta melalui PTPK untuk membiayai pelajar TVET, termasuk bidang seperti AI, kenderaan elektrik (EV) dan semikonduktor yang akan jadi tumpuan industri masa depan nanti.
Buli diiktiraf sebagai jenayah
Buat pertama kalinya, kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 yang mengiktiraf buli sebagai satu jenayah, sama ada berlaku di sekolah, universiti, tempat kerja atau dunia maya.
Langkah ini menandakan pendekatan tegas dan bersepadu kerajaan terhadap gejala sosial yang sekian lama menghantui pelajar dan belia. Ini adalah antara usaha yang diumumkan:
- KPM melaksanakan Kerangka Antibuli Sekolah (SAFE) bagi mencegah buli.
- KPT menambah kamera CCTV di kampus dan memperbanyak program sahsiah dan kepimpinan.
- KPWKM menyediakan sesi kaunseling berkelompok untuk mangsa.
- KKD pula menggerakkan Kempen Internet Selamat untuk mendidik murid tentang keselamatan siber.
- Rakan Muda memperluas gerakan ‘Lawan Buli’ di akar umbi.
Langkah ini penting kerana ia bukan sekadar menghukum, tetapi membina budaya empati dan keselamatan emosi di kalangan anak muda.
Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dinaikkan
Kerajaan memperuntukkan RM15 bilion bagi STR dan SARA bagi tahun 2026, menjadikannya antara bantuan langsung terbesar dalam sejarah Malaysia. Apa yang rakyat akan dapat adalah:
- 9 juta penerima STR akan menerima tambahan SARA sehingga RM100 sebulan iaitu bersamaan dengan RM1,200 setahun.
- 1 juta penerima STR di bawah e-Kasih akan menerima SARA RM200 sebulan iaitu bersamaan dengan RM2,400 setahun.
- Kategori bujang pula menerima RM600 setahun melalui SARA.
- Isi rumah berpendapatan bawah RM2,500 dengan lima anak boleh menerima sehingga RM4,600 setahun iaitu dengan gabungan bantuan STR dan SARA.
Kerajaan juga mengumumkan bantuan khas RM100 SARA kepada semua rakyat yang berumur 18 tahun ke atas bakal menerima sekali lagi pada Februari 2026 sebagai bantuan sambutan Ramadan dan Tahun Baru Cina.
Kerajaan juga mengumumkan bahawa STR Fasa 4 akan diawalkan sempena sambutan Deepavali iaitu mulai 18 Oktober 2025. Selain itu, diskaun tol 50% selama dua hari turut diberikan kepada semua pengguna jalan raya sempena perayaan tersebut.
Doktor kontrak dan kebajikan petugas kesihatan diberi nafas baharu
Kerajaan MADANI menegaskan komitmen untuk memperkukuhkan sistem kesihatan awam dengan menyelesaikan isu lama yang membelenggu sektor ini, termasuklah masalah doktor kontrak dan kebajikan petugas kesihatan yang sekian lama tertangguh.
Antara usaha utama kerajaan dalam isu ini adalah:
- Penyelesaian isu doktor kontrak
- Peluang tetap untuk jururawat muda iaitu graduan baharu Institut Latihan KKM terus diserap ke jawatan tetap bagi menampung kekurangan tenaga kejururawatan di hospital kerajaan.
- Kenaikan Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP): Elaun dinaikkan 40% bermula 1 Oktober 2025 dengan tambahan peruntukan RM120 juta setahun.
Pendidikan untuk semua orang
Melalui beberapa langkah baharu di bawah Belanjawan 2026, tumpuan utama diberikan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana supaya tidak ada anak bangsa tercicir kerana kekangan kewangan.
Jadi, antara usaha utama yang diumumkan adalah:
- Pendidikan percuma PTPTN untuk pelajar miskin
- Pengecualian bayaran balik PTPTN untuk pelajar cemerlang, iaitu mahasiswa yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di IPTA daripada keluarga B40 dan M40 akan dikecualikan daripada membayar semula pinjaman PTPTN.
- Tindakan tegas juga akan diambil kepada peminjam culas iaitu kerajaan akan mengenakan sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang berkemampuan tetapi enggan membayar balik pinjaman.
- Sebanyak 1,500 tempat tambahan di universiti penyelidikan.
- Hospital pengajar universiti awam kini diberikan menubuhkan tabung endowmen, di mana semua sumbangan yang diterima akan dikecualikan cukai sepenuhnya.
Penjawat Awam Sejahtera
Pelbagai inisiatif turut diumumkan bagi menzahirkan penghargaan kepada penjawat awam dan pesara atas jasa serta pengorbanan mereka dalam memastikan dasar negara berjalan lancar. Antara inisiatif utama yang diumumkan adalah:
- Kenaikan Bantuan Sara Hidup untuk pesara kontrak KEMAS: Seramai 4,000 pesara kontrak KEMAS akan menerima kenaikan bantuan sara hidup daripada RM300 kepada RM500 sebulan.
- Bayaran khas kepada pemegang Pingat Jasa Malaysia: Kerajaan menyalurkan bayaran khas RM500 kepada 120,000 penerima Pingat Jasa Malaysia bagi menghargai jasa anggota tentera yang berkorban demi keselamatan negara.
- Insentif Berasaskan Prestasi untuk penjawat awam yang cemerlang: Penjawat awam yang telah lama berkhidmat tetapi belum mendapat peluang kenaikan pangkat kini akan menerima insentif khas bersamaan satu kenaikan gaji tahunan, dibayar setiap bulan namun tertaklul kepada prestasi dan tempoh perkhidmatan.
- Elaun sara hidup untuk penerima biasiswa separa HLP: Kerajaan memperkenalakan Elaun Sara Hidup RM900 sebulan kepada penerima Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) Separa Biasiswa mulai 2026 serta menambah jumlah penerima daripada 100 kepada 150 orang setahun.
- Gaji hakim dinaikkan: Sebanyak 30% gaji hakim bakal dinaikkan bermula 1 Januari 2026.
- Bantuan Khas Kewangan: Semua penjawat awam gred 56 ke bawah, termasuklah lantikan kontrak akan menerima Bantuan Khas Kewangan RM500 manakala pesara kerajaan dan veteran akan menerima RM250.
- Sumbangan khas kepada guru agama dan penjaga masjid: Guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut akan menerima sumbangan khas RM500 dengan peruntukan RM35 juta.
- Pemotongan gaji Jemaah Menteri: Semua anggota Jemaah Menteri akan terus membuat pemotongan 20% gaji mereka.
Semoga semua rakyat dapat memanfaatkan bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan.
Sumber: MOF