Sekitar 18 bulan lalu, Thailand menjadi tumpuan ramai apabila menjadi negara pertama di Asia yang membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan rekreasi dan hal tersebut telah menerima sokongan beberapa negara dan individu yang turut mengharapkan Malaysia mengikuti jejak langkah negara tersebut.
Pun begitu, kerajaan baharu Thailand nampaknya bakal membuat ‘pusingan u’ terhadap keputusan tersebut kerana mereka merancang undang-undang baharu yang akan melarang penggunaan ganja untuk kegunaan rekreasi.
Menurut laporan, undang-undang yang dilonggarkan itu telah menyaksikan peningkatan industri ganja bukan sahaja kepada penduduk tempatan malah pelancong asing.

Tetapi, kerajaan baharu Thailand sekarang berikrar untuk mengetat peraturan penggunaan ganja dan ia hanya dibenarkan untuk tujuan perubatan sahaja.
Menerusi draf undang-undang yang dikeluarkan Selasa lalu oleh Kementerian Kesihatan Thailand, mereka menggariskan denda tinggi atau hukuman penjara sehingga satu tahun untuk pesalah atau kedua-duanya sekali.
Artikel berkaitan : Hati-hati! Ini 5 Scam Paling ‘Famous’ Di Thailand Yang Korang Kena Tahu!
Artikel berkaitan : 80,000 Rakyat Malaysia Kunjungi Thailand, Ini 7 Pantang Larang Kena Tahu Sebelum Ke Sana
Dalam masa yang sama, kerajaan Thailand juga mengalu-alukan makluman orang awam mengenai undang-undang tersebut.

Perdana Menteri, Srettha Thavisin pada September lalu menyatakan kerajaan baharunya akan ‘membetulkan’ undang-undang mengenai ganja dalam tempoh enam bulan akan datang.
Selain itu, perbuatan menghisap ganja di khalayak ramai adalah menyalahi undang-undang walau di bawah undang-undang yang dilonggarkan itu, tetapi undang-undang baharu yang dicadangkan ini juga bakal mengharamkan kempen pengiklanan dan juga pemasaran ekstrak ganja serta produk ganja lain.
Difahamkan, Srettha secara lantang melarang penggunaan ganja bagi tujuan rekreasi dan menyatakan dalam beberapa sesi wawancara bahawa penyalahgunaan dadah adalah ‘masalah besar’ kepada Thailand.
Sumber : Sinar Harian
