Baru-baru ni, berita melaporkan seramai 80 ribu pelancong Malaysia bercuti di negara Thailand sejak Jumaat lepas. Memang tak dapat nafikan, negara tu merupakan lokasi percutian favourite bagi kebanyakan rakyat Malaysia sebab senang nak pergi dan tak jauh sangat.
Namun begitu, seperti negara lain, Thailand juga mempunyai pantang larang yang korang kena ikut kalau nak bercuti di sana. Jadi, kalau tak nak kena denda ataupun hukuman, korang kena baca pantang larang yang min tulis dekat bawah ni.
1. Jangan bercakap tentang Raja Thailand
Dekat Thailand ni, korang jangan berani-berani buka mulut pasal raja dorang. Sebabnya, dorang sangat memandang tinggi kerabat diraja terutamanya Raja Thailand.
Malah, dorang ada buat satu peraturan khas iaitu lese-majeste yang digunakan sejak 1908 dan berfungsi untuk melarang sesiapa je dari mempersoal, mengutuk ataupun tidak menghormati perkara yang berkaitan dengan kerabat diraja Thailand seperti memijak wang negara tersebut yang mempunyai wajah Raja dorang. Kalau tak, korang mungkin akan dikenakan hukuman penjara.
Artikel berkaitan: Universiti Di Thailand Ini Benarkan Pelajar Wanita Cuti Jika Alami Sakit Ketika Datang Bulan
2. Sentuh kepala
Dalam masyarakat Thailand, kepala dianggap sebagai bahagian badan yang paling bersih dan suci. Jadi, kalau ada orang yang menyentuh kepala orang lain secara sengaja atau tak, itu dikira sebagai menyinggung perasaan. Selain tu, mengusutkan rambut budak kecil juga dianggap sangat tidak baik dalam masyarakat negara tu.
Sebenarnya, tindakan menyentuh kepala ni bukan dilarang di Thailand je malah, di negara-negara penganut Buddha yang lain juga. Kalau korang nak tahu, larangan ni juga terpakai untuk patung-patung Buddha.
3. Jaga adab di tempat keagamaan
Seperti yang diketahui, masyarakat Thailand majoritinya merupakan penganut Buddha. Jadi, memang banyak kuil-kuil cantik yang korang jumpa kalau berkunjung ke sana. Namun begitu, seperti agama lain, tempat ibadah seperti ni juga memang banyak pantang larang yang korang kena patuh.
Sebagai contoh, korang kena memakai pakaian yang menutup lutut, berlengan panjang serta membuka kasut ketika melawati kuil-kuil tersebut sebagai tanda hormat kepada dorang.
4. Wai
Biasanya, orang akan memberi salam disertai dengan berjabat tangan. Berbeza di Thailand ni, dorang mempunyai salam khas yang dikenali sebagai Wai iaitu dengan meletakkan kedua tapak tangan di hadapan dada sambil menundukkan kepala sedikit.
Ia juga merupakan sebahagian daripada tingkah laku dalam adab resam masyarakat Thailand yang bertujuan untuk mengucapkan terima kasih, memohon maaf, menyambut tetamu dan bermacam lagi.
Jadi, untuk pelancong dari luar negara, korang kena elakkan dari melakukan Wai secara kerap sebaliknya, hanya melemparkan senyuman dan menundukkan kepala ketika bersapa.
Artikel berkaitan: “Khong Kaek” – Netizen Malaysia Rasa ‘Terganggu’ Dengan Tajuk Filem Seram Terbaru Thailand Ini
5. Sami
Golongan sami ni adalah orang yang dianggap tinggi kemuliaannya dalam agama Buddha. Nak kenal dorang senang saja di mana dorang kebiasaanya botak dan memakai jubah berwarna jingga. Disebabkan kehormatannya yang tinggi, warga Thailand tidak berdiri atau duduk di tempat yang lebih tinggi daripada para sami.
Tak cukup dengan tu, golongan wanita juga dilarang menyentuh sami atau rahib pada kulit mahupun jubah dorang. Jika tersentuh, dorang terpaksa melakukan ritual pembersihan dalam agama dorang. Jadi, kaum wanita kena berhati-hati kalau-kalau terselisih dengan sami di Thailand.
6. ‘Diam’ pada pukul 8 pagi dan 6 petang
Uniknya di Thailand, dorang ada waktu spesifik dalam seharian di mana setiap aktiviti perlu dihentikan iaitu ketika 8 pagi dan 6 petang. Tapi, ianya bukan dilaksanakan satu negara sebaliknya ia hanya berlaku di Bangkok sahaja.
Pada waktu tersebut, lagu kebangsaan Thailand akan dimainkan dengan kuat. Jadi, korang kena peka dengan masa tu dan ‘diam’ sehingga lagu tamat sebagai tanda hormat.
7. Jangan marah-marah
Pada siapa yang pernah ke Thailand, masyarakat di sana memang baik dan suka sangat senyum kepada orang. Disebabkan itulah, Thailand dikenali sebagai ‘The Land of Smile‘ kerana dorang sangat ramah dengan pelancong dan akan cuba mengelakkan konflik sebaik mungkin.
Jadi, kalau korang tunjukkan tanda marah lebih-lebih lagi di tempat umum, ia boleh dianggap sebagai kelakuan yang buruk. Oleh itu, kalau korang pergi bercuti dekat Thailand ni janganlah stress-stress dan enjoy je sepanjang percutian korang!
Sumber: Vocket