Kecoh diperkatakan apabila ditemukan dua objek yang merupakan bahan letupan termampat (IED) di bahagian bawah kereta milik peguam dan aktivis sosial, Siti Kasim pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyifatkan penemuan bahan letupan di kenderaan Siti Kasim merupakan satu jenayah serius umpama cubaan membunuh, lapor Berita Harian.
Susulan kejadian itu, polis kini sedang giat mengesan suspek melalui cap jari dan bukti lain yang berkaitan.
“Pihak polis akan ambil tindakan agresif dalam siasatan ini. Jenayah sebegini tidak boleh dibiarkan kerana memberi peluang kepada individu tidak bertanggungjawab melakukan sedemikian,” katanya.
Setakat ini, sembilan individu sudah dirakam keterangan serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut diperoleh bagi membantu siasatan mengenai penemuan bom buatan sendiri itu.
Memetik kenyataan Kosmo!, peguam terbabit berkata, dirinya tidak pernah menyangka kejadian sebegitu akan terjadi kepada dirinya dan bersyukur Tuhan telah membantunya sehingga bom jenis IED itu berjaya ditemui sebelum sempat meletup.
Siti Kasim berkata, dia menyedari objek yang diletakkan di bahagian tayar itu ketika menghantar kenderaannya ke pusat servis kenderaan pada pukul 12 tengah hari.
Baca: Siti Kasim Dakwa Ada Objek Disyaki Bahan Letupan Ditemui Bawah Keretanya