Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan yang pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang adalah individu yang setaraf dengan bekas Musyidul Am Pas, Allahyarham Tan Sri Nik Aziz Nik Mat.
Menurut beliau, sumbangan Kit Siang yang kini memegang jawatan sebagai penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu kepada negara ini tiada bandingannya dengan mana-mana individu lain.
“Bagus sebab dia (Kit Siang) sama taraf dengan Nik Aziz. Sumbangan Kit Siang kepada negara tak boleh dilawan oleh mana-mana pihak lain, dia seorang yang setaraf dengan (Allayarham) Nik Aziz.”
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 bagi Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) sekaligus membawa gelaran Tan Sri kepada Lim Kit Siang oleh Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara baru-baru ini.
Dalam pada itu, Tun M menerusi Kosmo! hari ini menyatakan bahawa beliau tidak mahu beremosi dengan penganugerahan darjah kebesaran itu.
Sebagai info, Kit Siang adalah di antara 26 penerima Darjah Kebesaran PSM yang membawa gelaran Tan Sri selain tiga individu lain menerima darjah kebesaran itu bagi kategori pertubuhan politik sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda.