Susulan ditegur bapa di media sosial selepas keluarnya tuduhan merogol seorang gadis semalam, pendakwah muda, Dai’ Syed menerusi kenyataan rasminya di Instagram mendedahkan bahawa hubungannya dengan bapa, Syed Mohammad Shaiful mula keruh sejak 2016 lagi.
Menurut Syed atau nama penuhnya, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, 25, hubungan bapa dan anak itu mulai retak apabila dia terbabit dalam program realiti Dai’ dan tidak mendapat restu.
“Keadaan sebenar hubungan semasa antara kami adalah perkara peribadi yang perlu disimpan oleh saya.
Cukuplah sekadar saya menyatakan bahawa ayahanda saya sudah lama meninggalkan ibu saya sejak 2017, lantas berpindah ke Kaherah, Mesir. Hubungan kami berdua keruh seawal tahun 2016 apabila dia tidak bersetuju dengan pilihan kerjaya saya untuk menyertai program Da’i,” katanya.
https://www.instagram.com/p/CIA1NIiBdSY/
Pun begitu katanya, atas rasa hormat seorang anak kepada bapa, dia menerima segala nasihat yang diberikan bapa kepadanya.
“Namun, atas rasa hormat seorang anakanda kepada ayahandanya, saya terima nasihat yang diberikan itu dengan hati yang terbuka,” katanya lagi.
Komen bapa Dai’ Syed dengan menggunakan akaun Facebook Seif Jamalullail semalam tular dan telah menjadi topik utama portal berita serta cakap-cakap netizen.
Antara perkara yang dinyatakan bapa Dai’ Syed ialah dia telah memberi nasihat dan teguran kepada anaknya, namun selama dua tahun mesej atau teguran tersebut tidak berbalas.
Dalam pada itu, Seif Jamalullail juga meminta gadis-gadis yang menjadi mangsa anaknya itu untuk membuat laporan polis jika benar perkara tersebut berlaku.
Harap-harap hubungan bapa dan anak ini kembali baik semula serta kebenaran yang sebenar dapat dibuktikan segera.