Majoriti manusia dalam dunia ini seboleh mungkin cuba untuk mengelakkan diri daripada dihumban ke dalam penjara. Bukan hanya ia mampu mencacatkan rekod kita tapi situasi kehidupan dalam penjara merupakan antara punca kenapa orang tak mahu dimasukkan ke penjara.
Pun begitu, lain pula jadinya dengan seorang warga emas ini selepas dia sengaja melakukan jenayah supaya dia ditangkap dan disumbat ke dalam penjara. Alasan yang diberikan lelaki ini pula bagaimanapun, mengundang simpati ramai pihak.
Thaiger melaporkan, Pichit, 60, ditahan di daerah Sattahip, Chonburi, Thailand, selepas didapati mencuri tiga buku sabun yang berjumlah 51 baht (RM6.28). Meskipun ada orang awam yang menawarkan mahu membayar harga sabun yang dicuri Pichit, warga emas itu berkeras menolak dan mahu polis menyumbatnya ke penjara.
Sumber mendedahkan, lelaki tua itu berkeras mahu dimasukkan ke penjara kerana tidak mampu untuk hidup bebas susulan kesukaran mendapat kerja, tiada tempat tinggal dan berdepan risiko kebuluran.
Untuk mengelakkan dirinya daripada mati kebuluran, Pichit sengaja mencuri sabun di sebuah farmasi dan berharap dia akan dipenjarakan kerana menurutnya, di penjara, makan minumnya terjamin.
Selain itu, Pichit juga berkata, jika dia dipenjarakan, dia tidak perlu risau tiada tempat berteduh dan akan berjumpa individu lain yang boleh dibuat kawan.
“Kalau dipenjara, saya akan dapat makan sekurang-kurangnya tiga kali sehari, ada katil dan bumbung. Saya juga mungkin akan dapat kawan untuk berbual. Kalau saya hidup bebas di luar, saya mungkin mati kelaparan,” katanya.
Sumber: Thaiger
Baca: “Mahal betul sabun tu!” – Lelaki Beli iPhone 12 ‘Online’ Harga RM2,881, Tapi Yang Sampai Adalah…