Kelmarin seorang bayi berusia 18 bulan cedera dibahagian badannya selepas ditikam oleh bapanya menggunakan pisau pemotong roti.
Kejadian itu berlaku di flat Puchong Permai, Subang Jaya kira-kira jam 4 petang ketika bayi tersebut berada di rumah bersama bapanya, lapor Sinar Harian.
Sejurus mendapat maklumat, pihak polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui sebilah pisau pemotong roti yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa.
Suspek dikatakan telah mengamuk secara tiba-tiba dan bertindak menikam perut anak perempuannya itu.
Sepasukan polis yang menerima maklumat bergegas ke lokasi dan berjaya menahan suspek dan merampas sebilah pisau pemotong roti yang disyaki digunakan untuk menikam mangsa – Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman
Bayi kini stabil
Selepas dibawa ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan, bayi tersebut dirujuk ke Hospital Tuanku Azizah untuk menjalani pembedahan.
Nasib baik baginya, bayi tersebut kini berada dalam keadaan stabil dan akan dipantau oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), lapor Harian Metro.
KKM akan terus buat pemantauan rapi dan berikan rawatan yang diperlukan – Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Rohaizat Yon
Alami tekanan
Bapanya yang berusia 27 tahun sudah direman selama 5 hari bermula semalam hingga 17 Disember bagi membantu siasatan.
Menurut Sinar Harian, suspek yang bekerja di kedai aksesori kenderaan dikatakan mengalami tekanan perasaan selepas berpisah dengan bekas isterinya.
Pihak polis turut mengaitkan tekanan yang dialaminya dengan motif serangannya itu.
“Suspek yang juga pekerja kedai aksesori kenderaan dikatakan sudah bercerai dengan isterinya dan menyebabkan dia mengalami tekanan perasaan.
Selain itu, hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Baca : Berang Ditegur Main Telefon, Anak Tikam Bapa Umur 59 Tahun Sampai Mati