Sabtu lalu, telah berlangsungnya upacara perasmian temasya dwitahun terbesar Asia Tenggara iaitu Sukan SEA yang ke-32 di Stadium Nasional Morodok Techo di Phnom Penh, Kemboja.
Untuk pengetahuan semua, ini merupakan temasya Sukan SEA pertama di bumi Kemboja selepas penantian selama 64 tahun.
Difahamkan, Kemboja sepatutnya menjadi tuan rumah pada tahun 1963 namun telah dibatalkan kerana situasi politik ketika itu.
Jadinya, Kemboja telah menawarkan tiket percuma untuk kesemua tempat pertandingan dan juga tiada hak eksklusif penyiaran untuk semua jenis acara.
Ini menjadikan Kemboja sebagai tuan rumah pertama dalam sejarah Sukan SEA yang menampung semua perbelanjaan bagi negara yang mengambil bahagian.
Walau bagaimanapun, sudah tercetus beberapa isu terhadap tuan rumah sepanjang mengendalikan temasya sukan berprestij ini.
Kemboja bertanggungjawab sebagai tuan rumah dikatakan gagal untuk menjadi penganjur yang baik apabila fasiliti dan kelengkapan mereka dianggap tidak sesuai bagi acara sukan bertaraf antarabangsa.
Baru-baru ini, tular sebuah video di laman Twitter yang memaparkan jawatankuasa Sukan SEA 2023 hanya menggunakan lampu kereta sebagai sumber pencahayaan ketika acara penyerahan pingat.
SEA Games 2023 ❎
SEA Ngenes 2023 ✅ pic.twitter.com/mKOaPlOZXD— Komisi Wasit (@MafiaWasit) May 7, 2023
Dapat dilihat menerusi video berdurasi 19 saat itu, suasana agak kelam dan hanya pemenang sahaja diterangi cahaya lampu ketika sesi penyerahan pingat. Rupa-rupanya, cahaya yang menerangi ketiga-tiga pemenang pingat acara jalan kaki itu merupakan cahaya daripada lampu kereta.
Video tersebut telah mengundang pelbagai reaksi netizen, rata-ratanya tergamam melihat keadaan serba tidak lengkap yang diberikan pihak penganjur.
Namun, ada juga yang berpandangan mungkin pihak penganjur tiada pengalaman kerana pertama kali mengadakan temasya sukan sebesar ini di situ. Pun begitu, ada juga yang mengatakan bahawa ia bukan alasan untuk tidak menyediakan kemudahan yang begitu baik.
Terdahulu, Kemboja menerima kritikan daripada warga Indonesia apabila menyaksikan kejadian bendera negara tersebut dipasang terbalik ketika upacara pembukaan sukan tersebut.
Untuk info, kerajaan Kemboja telah pun membelanjakan sekitar 200 juta dollar Amerika Syarikat (RM 884 juta) untuk menjayakan pengajuran Sukan SEA kali ini.