Pada 24 Oktober lalu, rakyat Brunei telah dikejutkan dengan berita duka apabila pihak istana Brunei memaklumkan bahawa anakanda Sultan Brunei, Pengiran Muda Haji Abdul Azim atau lebih dikenali sebagai Putera Azim sudah mangkat.
Menurut laporan Radio Televisyen Brunei, putera yang berusia 38 tahun itu mangkat pada jam 10.08 pagi dan telah pun dimakamkan di Kubah Makam Diraja selepas waktu Asar.
Pemergian Putera Azim yang juga kekanda kepada Putera Mateen ini betul-betul meninggalkan kesan yang mendalam kepada kaum kerabatnya.
Setelah mendiamkan diri buat beberapa ketika, akhirnya Putera Mateen semalam memuat naik satu posting di Instagram untuk meluahkan perasaan hatinya.
Menerusi posting itu, Putera Mateen berkata abangnya merupakan seorang yang suka berjenaka dan kebanyakan masa di zaman kecilnya telah dihabiskan bersama Putera Azim.
Pun begitu, awal tahun ini, Putera Azim telah didiagnos dengan penyakit autoimun yang mana antibodi menyerang tisu badan. Pada masa yang sama juga, Putera Azim sedang bergelut dengan penyakit bipolar yang dialaminya yang membuat keadaan bertabah perit.
“Kekanda saya mengalami beberapa kegagalan organ disebabkan jangkitan yang kerap berlaku akibat daripada penyakit autoimun. Perkara ini membawa kepada kemangkatannya pada 24 Oktober 2020 lalu.
“Kami ingin berkongsi informasi ini mengenai penyakit yang dihadapinya kerana saya pasti inilah yang kekanda saya mahukan. Dia gemar memberi sokongan kepada pelbagai jenis kempen kesedaran.
“Ketika saya dan kaum kerabat berasa sedih dan teramat menyayanginya, kami tahu yang Allah lebih menyayanginya. ‘Dari Allah kita datang, dan dari Allah juga kita kembali’.
“Terima kasih semuanya atas ucapan takziah dan sering menyelitkan Putera Azim serta keluarga saya dalam ingatan dan doa anda semua. Kami okey. Kami cuma merinduinya.
“Sampai kita bertemu lagi bang. Al Fatihah.”
Posting daripada Putera Mateen ini mendapat ratusan komen takziah dari netizen ramai termasuklah kaum kerabat diraja di Malaysia dan selebriti Hollywood terkenal.
Antaranya ialah anakanda Sultan Johor, Tunku Abdul Rahman; anakanda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Puteri Iman Afzan dan selebriti Hollywood, Naomi Campbell.
Salam takziah dari kami Lobak Merah. Semoga kaum kerabat di Brunei tabah menghadapi pemergian ini. Al Fatihah.
Baca: Belasungkawa, Anakanda Sultan Brunei, Pengiran Muda Abdul Azim Mangkat