Mengejutkan! Seorang kanak-kanak berusia 6 tahun telah ditemui disembunyikan dalam bilik rahsia di belakang tangga sebuah rumah selepas dua tahun dia diculik.
Lebih pelik, kanak-kanak bernama Paislee Shultis ini sebenarnya telah diculik oleh ibu dan ayahnya sendiri pada tahun 2019 lalu ketika dia berusia 4 tahun selepas mereka kehilangan hak penjagaan, lapor Mirror. Ini mesti ada yang tak kena ni…
Polis datang serbu, ayah dan datuk buat-buat tak tahu
Menurut sumber, Paislee sebelum ini tiba-tiba dilaporkan hilang daripada rumah penjaganya yang sah di Cayuga Heights, New York berikutan ibu bapa kanak-kanak itu didakwa menyembunyikannya.
Penyiasat telah mengesyaki Kimberly Copper, 33 dan Kirk Shultis Jr, 32, iaitu ibu bapa Paislee sebagai penculiknya selepas mereka dapat ‘tips’ dari balai polis berdekatan berkenaan keberadaan budak itu bersama pasangan tersebut.
Pihak polis kemudian menyerbu rumah pasangan itu di Fawn Road, yang mana datuk dan ayah kanak-kanak berkenaan mengatakan mereka tak tahu di mana Paislee berada.
Terkejut nampak sepasang kaki kecil
Tapi pihak polis yang curiga tiba-tiba ternampak ‘ada sesuatu yang bersandar di belakang tangga’ dan kemudian menyuluhkan lampu suluhnya. Dia terkejut apabila menjumpai sepasang kaki kecil di belakang tangga tersebut. Uiks!
Pihak polis kemudian mengeluarkan sebahagian tangga tersebut dan menjumpai Paislee yang masih hidup bersama ibunya, Kimberly Cooper sedang menyembunyikan diri di belakang tangga itu.
Kanak-kanak itu telah disembunyikan di dalam bilik sementara, di bawah tangga tertutup menuju ke ruang bawah tanah kediaman itu.
“Setelah menanggalkan papan tangga, kanak-kanak itu dan penculiknya, Kimberly Cooper ditemui bersembunyi di dalam kandang yang gelap dan basah,” kata polis.
Pihak polis kemudian membawa kanak-kanak tersebut ke pejabat polis untuk dinilai pihak medik dan dikembalikan kepada penjaganya yang sah.
Manakala ibu, bapa dan datuk kanak-kanak berkenaan ditangkap dan didakwa kerana campur tangan jagaan jenayah dan mengabaikan kebajikan kanak-kanak.
Baca: 33 Tahun Terpisah Akibat Diculik, Lelaki Pulang Ke Pangkuan Ibu Lepas Lukis Peta Kampung Sendiri