Terdahulu, tular di media sosial sebuah video yang memaparkan seorang lelaki memandu sebuah kenderaan sambil diiringi oleh dua anggota polis trafik menggunakan motosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang pada 8 Mei lepas.
Susulan itu, satu siasatan telah dijalankan dan dua anggota polis trafik yang terlibat telah dikenakan tindakan tatatertib, lapor Berita Harian.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, tindakan itu diambil di bawah Peraturan 36 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Polis Pulau Pinang sebelum ini membuka Kertas Siasatan Tatatertib (KST) ke atas dua anggota trafik kerana mengiringi individu dipercayai anak lelaki kepada Ahli Parlimen BN menggunakan motosikal PDRM di Jalan Bukit Gambir, Georgetown.
“PDRM juga sudah menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu selepas rakaman video berdurasi 20 saat tular di media sosial sejak 7 Mei 2022,” katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan MP Bukit Mertajam di Dewan Rakyat.
“Yang ‘bagi arahan’ kena apa?”
Walau bagaimanapun berita ini tidak disambut baik oleh rata-rata netizen yang mahukan tindakan yang sama dikenakan kepada anak Ahli Parlimen tersebut yang didakwa memberi arahan kepada polis trafik berkenaan untuk mengiringinya.
Apa pendapat korang? Rasa-rasanya anak ahli parlimen tu patut kena tindakan juga ke?
Baca: Iringi Anak Ahli Parlimen Di Jalan Raya, Dua Polis Trafik Kena Siasatan Tatatertib