Projek Perumahan Rakyat (PPR) merupakan satu program kerajaan untuk penempatan semula setinggan dan memenuhi keperluan tempat kediaman bagi golongan berpendapatan rendah.
Semestinya projek ini ditubuhkan khas untuk membantu warganegara Malaysia yang memerlukan. Namun, sayang sekali bila kemudahan yang diberi, disalahgunakan oleh segelintir rakyat kerana memilih untuk membeli dan menyewakan rumah PPR milik mereka kepada warga asing.
Menurut Sinar Harian, Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin telah meminta supaya pemilik rumah PPR untuk mengosongkan rumah mereka yang disewa warga asing.
Beliau juga memberikan tempoh selama tiga bulan untuk mereka berbuat demikian dan sekiranya pemilik gagal mengosongkan premis berkenaan, tindakan pengusiran terhadap penyewa warga asing itu akan dikuatkuasakan.
Dalam masa yang sama, pemilik juga bakal berdepan dengan penalti dan hak pemilikan rumah akan ditarik balik.
“Tindakan ini diambil adalah bagi memastikan tiada lagi warga asing menduduki rumah PPR dan ini akan dimulakan dengan rumah yang di bawah jagaan KPKT dan seterusnya kita akan bergerak kepada sektor-sektor yang lain.”
Penguatkuasaan begitu bukanlah bertujuan untuk menghukum tetapi untuk memastikan rakyat tempatan diberikan keutamaan dalam mendapatkan rumah tersebut selain timbul isu-isu sosial yang dikaitkan dengan warga asing yang menduduki kawasan rumah terbabit.
“Kita juga mahu mengawal selia isu harga sewa di kawasan berkenaan yang mana kita tahu kebanyakan warga asing akan menawarkan kadar yang lebih tinggi berbanding rakyat tempatan.”
Haa.. Kepada yang menyewakan rumah PPR mereka kat orang warga asing, cepat-cepatlah minta dorang cari rumah lain.