Berita terbaru yang semakin tersebar luas di media sosial kini adalah tentang pil ekstasi yang sangat ‘berkuasa’ sehingga boleh menyebabkan kematian. Serius ni tak tipu!
Salah satu kes yang berlaku melibatkan seorang wanita berusia 40 tahun di mana dia dilaporkan mengalami kesan teruk selepas mengambil pil ekstasi baru yang mempunyai logo ‘like’ Facebook.
Menurut World of Buzz, pada malam kejadian tragis itu, wanita berkenaan yang dikenali sebagai Helen Loh menelan dadah tersebut bersama beberapa orang rakan di sebuah kelab malam di Johor Bahru pada hujung minggu.
Keadaan menjadi huru hara selepas itu apabila Helen mencubit rakannya dan berkata dia rasa sangat lain serta memohon kepada rakan untuk ‘menyelamatkannya’.
Mereka mencuba pelbagai cara untuk menenangkannya namun dia tetap tidak dapat dikawal dan berlari ke bilik air untuk muntah. Selepas muntah, dia mula makan ketulan ais kerana menurutnya dia sangat dahaga. Rakannya dapat rasakan sesuatu yang tidak kena dan berkata,
“Saya buka lampu dan terkejut melihat mulutnya bengkak dan berlumuran darah. Saya dengan segera mengambil tuala kecil dan memasukkan ke dalam mulut untuk menghalangnya daripada menggigit mulut sendiri tetapi dia tidak dapat kawal dirinya lalu menggigit saya.”
Bagaimanapun, rakan-rakan yang lain masih di bawah pengaruh dadah dan individu yang paling dalam keadaan sedar pada ketika itu adalah individu yang memuat naik status di Facebook itu.
Mereka akhirnya berjaya membawanya ke bawah, bersama dua lagi rakan perempuan yang sedang berbuih di bahagian mulut selepas menelan dadah yang sama. Teruknya keadaan ni!
Mereka kemudian menghantar Helen ke Hospital Sultanah Aminah, di mana sepanjang perjalanan dia tidak bernafas. Menurut rakannya, “Ketika di hospital, dia berhenti bernafas semula dan staf hospital segera menggunakan teknik CPR.”
Polis Johor telah mengesahkan insiden itu dan kini sedang menjalankan siasatan. Sebelum ini, Helen koma dan disyaki mati otak tetapi laporan terbaru menerangkan bahawa dia meninggal dunia kerana kesan daripada dadah yang diambil.
Individu yang memuat naik cerita ini di Facebook turut memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak mencuba pil ekstasi terbaru itu kerana rupanya ia telah membunuh lebih dari 10 orang bulan lepas.
Dia juga berkata bahawa salah satu pil yang mempunyai logo ‘Facebook’ itu mengandungi racun yang mampu membunuh lebih dari lapan orang.
Senang cerita, jangan hisap dadah. Jangan gatal nak cuba ke apa!
Baca: Remaja Perempuan 13 Tahun Ditahan Sedang Berparti dan Ambil Dadah di Kuala Lumpur