Seorang wanita berusia 20 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh seekor kerbau di Jalan Kampung Alor Parit awal pagi Ahad.
Mangsa, Siti Nur Zainatul Akmal Hanim Muhammad Hanipah dari Bukit Payong, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan. Insiden berlaku kira-kira jam 3.10 pagi ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari bandar Kuala Terengganu ke Kampung Undang.
Menurut laporan Sinar Harian, siasatan awal mendapati motosikal Honda Beat ditunggang mangsa melanggar haiwan terbabit yang berada di tengah jalan, menyebabkan beliau terjatuh. Keadaan jalan ketika itu adalah satu lorong dua hala tanpa lampu jalan, sekali gus menyukarkan penglihatan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut, manakala motosikalnya mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Baca: Lelaki Di China Tarik Perhatian Ramai, Bela Anak Kerbau Dalam Rumah Flat