Seorang lelaki bersenjatakan parang yang merosakkan harta benda awam dan mendatangkan kegusaran penduduk di sebuah taman perumahan di Lorong Permatang Badak, Kuantan tular dalam satu video di laman sosial Facebook pada Ahad telah ditahan polis pada Isnin, menurut Sinar Harian.
Lelaki ganggu ketenteraman jiran, ada masalah mental
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, lelaki berusia 29 tahun ditahan di lokasi kejadian. Menurut beliau, siasatan mendapati lelaki itu dipercayai mempunyai masalah mental telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk pemeriksaan lanjut.
Dalam satu video berdurasi 42 saat di Twitter memaparkan lelaki terbabit membela ayam dan itik di hadapan rumah serta memasang radio dengan kuat di kawasan perumahan tersebut hingga mengganggu keselesaan dan ketenteraman awam.
https://twitter.com/MALAYSIAVIRALL/status/1533117112167714816?t=If1gxAcmqZqqCKmf4ylCMw&s=19
Rosakkan tong sampah guna parang
Bukan itu sahaja, lebih menyakitkan hati, ‘jiran dari neraka’ itu juga disyaki menjadi dalang kepada kemusnahan beberapa tong sampah di hadapan rumah penduduk selepas video dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memperlihatkan dia menghentak tong-tong terbabit menggunakan sebilah parang.
Malah lelaki itu dikatakan turut mengancam jiran yang menegurnya dengan parang sekali gus menimbulkan ketakutan dan keresahan dalam kalangan masyarakat di situ.
Wan Mohd Zahari turut memaklumkan yang tiada orang awam mengalami kecederaan. Sehubungan itu, polis menasihat orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi negatif berhubung kejadian berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen yang mengatakan bahawa sebelum ini lelaki tersebut pernah ditangkap beberapa kali namun masih melakukan perkara yang sama.
Bersyukurlah bila korang dapat jiran yang baik dan jenis memahami ni ya!