Pengacara tersohor, Datuk Aznil Hj Nawawi atau lebih mesra dengan panggilan Pak Nil meluahkan rasa sayu apabila mendapati individu yang pernah menghubunginya di DM (direct message) telah meninggal dunia. Khabar berita sedih itu diterima menerusi Threads apabila ada pengguna media sosial yang dipercayai adik kepada arwah memaklumkannya di sana.
Difahamkan, perkara itu baru diketahui oleh adik kepada arwah sendiri setelah dia menyemak telefon bimbit milik arwah dan mendapati bahawa arwah ada menghubungi Pak Nil.
Lebih mengharukan lagi, adik kepada arwah baru sahaja mengetahui rahsia yang arwah selama ini pendamkan dalam luahan tersebut.
Artikel berkaitan: Terserempak Di Kedai Gajet, Sekumpulan Remaja Teruja Dapat Duit Raya Dari Pak Nil
Artikel berkaitan: Pak Nil Sebak Dengar Luahan ‘Rider’, Dibuang Kerja Sebab Cuti Lama Jaga Isteri Sakit
“Sejujurnya dia tidak pernah cerita dengan kami”
“Assalammualaikum @aznilnawawihm, Abang saya dah tak ada, baru tengok-tengok DM ada nampak DM dengan paknil. Sejujurnya dia tak pernah nak cerita ni kat kami. Ya Allah Along, banyaknya kau nak rahsia kat kami.”
Dalam mesej tersebut, individu tersebut meluahkan bahawa hari raya tahun ini merupakan hari raya terendah dalam hidupnya kerana dia diberhentikan kerja dan duit yang ada hanya cukup-cukup untuk perbelanjaan makan seminggu.
Lebih menyedihkan, arwah tidak dapat pulang ke kampung kerana kekurangan wang dan terpaksa menipu ibu bapa dengan mengatakan dirinya terpaksa bekerja sedangkan dia sudah tidak bekerja.
Arwah mula menghubungi Pak Nil untuk meluahkan masalahnya selepas dia ternampak tindakan Pak Nil memberikan bantuan kepada salah seorang pendengar Kool FM yang mengalami kepayahan dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri. Kisah itu tular di TikTok dan arwah tumpang gembira dengan tindakan Pak Nil tersebut.

Tak sangka arwah perlu lebih dari itu – Pak Nil
Hantaran tersebut telah mendapat perhatian daripada Pak Nil sendiri dan ia membuatkan pengacara tersohor ini berasa tersentuh apabila mengetahui perkara tersebut.
Berdasarkan luahan yang diberikan, Pak Nil tidak menyedari bahawa arwah berada dalam keadaan yang ‘lebih memerlukan’ kerana ramai orang yang menghubungi dirinya untuk meminta bantuan malah arwah tidak meminta bantuan langsung daripadanya.
“Ketika itu memang ramai hubungi paknil cerita perlukan bantuan. Sebab dia pun tak minta bantuan, Pak Nil cuma balas ringkas dan ucap selamat hari raya. Tak sangka arwah perlu lebih dari itu. Allahu, ralat rasa hati Pak Nil. Semoga Allah letakkan dia bersama-orang orang yang soleh di sisinya. Amin.”
Anggota keluarga arwah tersebut tampil memberikan respon dan menganggap bahawa arwah abangnya hanya mahu meluahkan kepadanya sahaja kerana baginya mungkin arwah tidak mampu menceritakan perihal tersebut kepada keluarganya.
Malah, adik arwah juga memujuk Pak Nil untuk tidak perlu rasa bersalah, cuma ahli keluarga berasa sedih dengan cara arwah membuat luahan terhadap pengacara itu.
“Pak Nil jangan rasa sebersalah. Saya cuma sedih cara dia meluahkan, orang tu pulak kat paknil. Terima kasih sangat-sangat paknil ada time abang saya luahkan. Saya minta maaf sangat-sangat dari pihak keluarga arwah.”
Salam takziah buat keluarga arwah dan semoga Allahyarham Mohd Asyraf bin Mohd Sabri ditempatkan di kalangan orang-orang beriman.
