Hantaran bergambar yang tular di media sosial memaparkan tangkap layar kononnya menunjukkan pelakon, Allahyarham Nadia Kesuma rebah di Lapangan Terbang Raja Abdul Aziz, Jeddah disahkan tidak benar.
Perkara itu dinafikan oleh suami Allahyarham, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah menerusi satu hantaran di Facebook apabila menyifatkan maklumat tersebut sebagai ‘fakta mengelirukan’ yang tersebar tanpa pengesahan.
Muhammad Kamarul, 57, berkata, sehingga kini tiada sebarang bukti video yang menunjukkan kejadian tersebut seperti yang didakwa.
Artikel berkaitan: Jenazah Nadia Kesuma Sudah Dimandikan & Disembahyangkan, Akan Dikebumi Lepas Subuh
Artikel berkaitan: “Saya datang dengan cinta” – Luahan Rindu Suami Allahyarham Nadia Kesuma Undang Sebak Netizen
“Untuk pengetahuan semua, bukti video tersebut tidak wujud buat masa sekarang. Kami sekeluarga telah membuat permohonan rasmi melalui kerajaan Malaysia kepada kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan rakaman video tersebut (untuk tontonan kami sekeluarga sahaja) sejak arwah dilaporkan hilang pada 15 Januari.
Namun malangnya, permohonan kami masih belum diluluskan sehingga ke hari ini (hari kami bertolak pulang dari Jeddah ke Malaysia).
Mereka mempunyai protokol, polisi dan prosedur yang berbeza. Sebagai keluarga, kami berasa sedih dan kecewa, namun kami menghormati amalan mereka,” tulisnya.
Menurut beliau, pihak berkuasa Arab Saudi mempunyai garis panduan tersendiri termasuk dalam mengendalikan kes kehilangan orang dewasa.
Mengulas dakwaan kononnya Allahyarham rebah di lokasi tertentu di lapangan terbang berkenaan, Muhammad Kamarul menegaskan perkara itu tidak pernah disahkan kepada pihak keluarga.
“Jadi bagaimana kami tahu bahawa arwah meninggal dunia di lapangan terbang Jeddah? Kejadian itu DITERANGKAN (berdasarkan rakaman CCTV) oleh pegawai Arab Saudi di sana.
Video tersebut tidak ditunjukkan kepada kami. Kami juga tidak diberitahu lokasi tepat kejadian tersebut berlaku. Oleh itu, jika ada kenyataan yang menyatakan arwah jatuh di tempat sekian-sekian, maka itu tidak benar.
Apa yang diceritakan kepada kami ialah arwah dibawa keluar menggunakan usungan (stretcher) ke ambulans dan diberikan rawatan perubatan secepat mungkin,” katanya lagi.
Dalam kenyataan sama, beliau turut menjelaskan bahawa keluarga hanya dimaklumkan mengenai waktu kematian, namun tidak mengetahui lokasi sebenar Allahyarham rebah.
“Dalam hantaran anak saya (Myraa), ia ditulis sebagai 8.05 malam. Itu adalah kesilapan anak saya kerana kami dimaklumkan berita kematian oleh Wisma Putra pada jam 12.17 tengah malam (18 Januari 2026). Oleh itu, dia menyangka kematian arwah berlaku pada waktu malam.
Waktu kematian rasmi yang diberikan oleh pihak hospital di Jeddah adalah 8.07 pagi (waktu Jeddah atau 1.07 tengah hari waktu Malaysia),” jelasnya.
Terdahulu, Allahyarham Nadia Kesuma atau nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 50, yang juga pelakon filem Syaitan Munafik, disahkan meninggal dunia pada hari sama beliau dilaporkan hilang ketika transit di Jeddah, Arab Saudi.
Sumber: Facebook
