Satu video tular di media sosial memperlihatkan gadis yang dikatakan sepatutnya menjalani tempoh kuarantin telah mengingkar arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dalam video berdurasi 30 saat itu,gadis tersebut dilihat sengaja menanggalkan ‘gelang pink’ dan keluar untuk ke rumah rakannya.
Video yang dimuatnaik menerusi TikTok itu viral ke Twitter sehingga meraih 12.1K jumlah perkongsian dalam masa 18 jam.
Dah kena kompaun RM 5,000
Menerusi Harian Metro, kejadian itu berlaku di Taiping, individu tersebut merupakan remaja 17 tahun.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, remaja tersebut menjalani ujian calitan pada Sabtu lalu dan keputusannya masih belum diperolehi.
“Difahamkan ketika kejadian itu, dia dikatakan hanya singgah di rumah rakannya di kawasan berkenaan,” katanya.
Oleh sebab itu, pihak polis telah berjaya mengesan lokasi remaja terbabit dan dia dikenakan kompaun sebanyak RM 5,000.
Boleh tonton video penuh di sini.
Menurut Osman Mamat, kompaun dikenakan kerana remaja itu melakukan kesalahan di bawah Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.
“Polis menasihatkan masyarakat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memerangi wabak Covid-19.”
Tambahnya lagi, individu yang didapati sengaja melanggar peraturan yang ditetapkan akan diambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.