Susulan tularnya rakaman sesi siaran langsung (live) di TikTok yang memaparkan pempengaruh dan usahawan, Syida Melvin bertindak menyerang bekas suaminya di kediaman mereka baru-baru ini, Syida akhirnya tampil memberikan penjelasan terbuka bagi menjernihkan keadaan.
Menerusi satu kenyataan panjang lebar di Threads, Syida mengakui dirinya terlalu mengikut emosi ketika kejadian tersebut sehingga bertindak bersuara secara langsung di hadapan umum.
Walaupun menyedari cara penyampaiannya mungkin mengundang kecaman, beliau berharap orang ramai tidak menilai keseluruhan hidupnya hanya berdasarkan potongan video berdurasi beberapa minit itu.
Artikel berkaitan: “Pengemis dalam company sendiri” – Syida Melvin Dedah Ditindas Suami Narsistik?
Artikel berkaitan: “Dah 8 bulan aku sabar…” – Syida Melvin Tinggal Rumah Demi Selamatkan Mental, Dedah Kena Caci Maki?
Sudah bercerai sejak Disember 2025, keluar rumah sejak April 2026
Menurut Syida, kemelut yang berlaku bukanlah perkara baharu. Dia mendedahkan bahawa keputusan untuk bercerai pada Disember 2025 diambil selepas pelbagai usaha menyelamatkan rumah tangga termasuk perbincangan, khidmat kaunseling, bantuan pihak ketiga serta pemberian peluang kedua, namun gagal menemui jalan penyelesaian.
Selepas keluar dari kediaman tersebut pada April 2026, Syida dan tiga orang anaknya telah berjauhan daripada rumah sendiri selama lapan bulan.
Justeru, setelah tempoh iddah selesai, beliau hanya memohon ruang sementara untuk kembali menetap di rumah itu bersama anak-anak sementara urusan tuntutan harta sepencarian diselesaikan menerusi saluran undang-undang.
“Saya tidak pernah menafikan hak mana-mana pihak terhadap rumah tersebut. Saya faham bahawa terdapat sumbangan kedua-dua pihak dan saya bersedia menghormati proses undang-undang yang sewajarnya.”
“Saya juga telah beberapa kali memberikan notis dan meminta ruang untuk perkara ini diselesaikan dengan baik.” jelasnya.
Jawab dakwaan bawa anak ketika kejadian
Menjawab persoalan netizen yang mempertikaikan tindakannya membawa anak-anak ketika insiden tersebut berlaku hingga dikhuatiri memberi trauma, Syida menjelaskan beliau berbuat demikian dengan harapan agar kehadiran wajah anak-anak dapat menimbulkan rasa belas ihsan terhadap keperluan mereka.
Tambah Syida lagi, kejadian tempoh hari bukanlah kali pertama anak-anaknya menyaksikan pertengkaran atau mendengar kata-kata yang tidak sepatutnya.

Malah, beliau meluahkan rasa sedih melihat anaknya, Pia, yang terpaksa matang sebelum usia akibat terlalu banyak memendam apa yang dilalui di dalam rumah selama ini.
Katanya lagi, ketiga-tiga anaknya Pia, Jedda dan Isa terpaksa berpindah-randah tanpa ruang peribadi yang selesa menjelang sesi persekolahan tahun hadapan.
Katanya, Isa yang masih kecil terpaksa mengendong mainan kesayangannya ke hulu ke hilir kerana tiada lagi ruang menyimpan barang seperti dahulu.

“Ibu, kita dapat balik tak rumah kita? I boleh tidur tak dekat bilik I? Baju-baju I banyak dekat rumah. I miss my room lah, ibu.”
Mengakui dirinya hanyalah manusia biasa dan seorang ibu yang mempunyai batas kesabaran setelah terlalu lama berdiam diri demi menjaga aib keluarga, Syida menegaskan bahawa tindakan undang-undang yang sewajarnya telah pun diambil dan beliau kini sedang menunggu proses seterusnya.
Sumber : Threads
