Kecoh di ruangan media sosial ketika ini apabila dikatakan platform yang terkenal dengan perkongsian video pendek dan live streaming iaitu TikTok mengalami gangguan teknikal buat masa ini.
Perkara itu didedahkan oleh seorang pengguna yang mendakwa server utama di Singapura untuk pengguna Malaysia terbakar sekali gus menyebabkan ekosistem TikTok tergendala.
Situasi itu memberi kesan kepada pengguna TikTok di Malaysia apabila ramai mendakwa mengalami masalah untuk memuat naik kandungan dan mengubah tetapan ketika menggunakan platform tersebut hari ini.
Artikel berkaitan: Meta Dilaporkan Kerugian Sekitar 100 Juta USD Selepas Alami ‘Masalah Teknikal’ Baru-Baru Ni
Menurut individu tersebut, perkara itu disahkan sendiri oleh sumber dalaman yang menyatakan pihaknya mengalami gangguan bekalan elektrik disebabkan isu bateri yang mengakibatkan kebakaran dalam unit sistem utama.
Walaupun boleh melayari video dalam platform terbabit, sebahagian pengguna tidak boleh melakukan urusan membeli di TikTok Shop sekali gus menjejaskan peniaga dari segi jualan dan engagement.
Katanya, setakat ini tiada jangka masa khusus yang diberikan untuk baik pulih sistem dan pihaknya kini sedang berusaha untuk menyelesaikan isu tersebut.
Sementara itu, memetik laporan WOB, gangguan ini juga turut menjejaskan engagement akaun TikTok pengguna.
Menerusi semakan kami, Lobak Merah turut mengalami kesukaran yang sama apabila tidak dapat memuat naik video di akaun TikTok Lobak Merah.
Korang alami masalah yang sama tak?