Kisah mengenai penyewa bermasalah atau lebih sinonim digelar penyewa dari neraka mungkin bukan sesuatu cerita yang asing. Memang banyak cerita-cerita malang dikongsikan oleh pemilik rumah di laman sosial mengenai nasib yang menimpa mereka selepas menyewakan rumah kepada individu lain. Ada yang rumah penuh sampah, ada tu pulak tinggal rumah macam tu je dengan bil utiliti dah berbulan tak bayar!
Rupanya isu penyewa dari neraka ini bukan sahaja berlaku di negara kita tapi turut terjadi di negara luar seperti Sepanyol. Cuma ragam penyewa bermasalah kali ini lebih extreme.
Portal The Sun melaporkan, pihak polis dan bomba di Ponferrada, Sepanyol, menerima laporan mengenai satu kejadian letupan gas yang berlaku pada sekitar jam 4 pagi di dalam sebuah unit pangsapuri di kawasan Calle Alcón.
Letupan terbabit difahamkan agak teruk kerana bumbung pangsapuri terbabit sudah hancur dan sisanya bertaburan di jalan raya dan menghempap kereta orang awam yang diparkir di tepi jalan.
Selain itu, letupan gas terbabit juga mengakibatkan kebakaran yang turut merosakkan 100% bahagian dalam unit pangsapuri terbabit.
Bagaimanapun, kejadian terbabit tidak mengakibatkan apa-apa kecederaan mahupun kemalangan jiwa. Kesemua jiran sudah dipindahkan ke lokasi lebih selamat.
Media tempatan pula melaporkan, sejurus letupan terbabit, seorang lelaki dalam lingkungan umur 30-an menyerah diri di sebuah balai polis dan mendakwa dirinya merupakan suspek disebalik letupan gas itu.
Dikatakan, punca letupan gas terbabit dimulakan suspek yang identitinya tidak didedahkan kerana tidak berpuas hati dirinya bakal dihalau dari rumah sewa terbabit dan mahu membalas dendam kepada pemilik rumah.
Sumber: The Sun
Baca: Jijik! Penyewa Dari ‘Neraka’ Tinggalkan Rumah Penuh Dengan Sampah Sarap