Hujan lebat berterusan yang melanda ibu negara Kuala Lumpur sejak awal pagi tadi mengakibatkan satu kejadian tanah runtuh setinggi 30 meter berlaku di Jalan E6, Taman Melawati, Ampang.
Menerusi satu video tular di platform X, memaparkan kejadian itu berlaku berhampiran taman perumahan penduduk.
Klip berdurasi 23 saat itu menunjukkan tanah di kawasan bukit bersebelahan, runtuh membawa lumpur dan pokok-pokok tumbang hingga ke kediaman berdekatan.
Video itu turut memaparkan aliran air deras dari atas bukit yang menyebabkan beberapa pokok tumbang berhampiran rumah dan kenderaan milik penduduk. Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
TANAH RUNTUH DI TAMAN MELAWATI! pic.twitter.com/ZM56zIcdO0
— Hazri (@Sapik_Z) October 15, 2024
Menurut sumber, pihak bomba sedang melakukan tindakan susulan kerana masih berlaku pergerakan tanah di kawasan tersebut.
Artikel berkaitan: Seorang Wanita & Anak OKU Hilang Dihanyutkan Arus Deras Ketika Banjir Di Kuala Nerang
Artikel berkaitan: Tular Video Siling JPJ Bocor Sampai Pejabat Banjir, Bahagian Pelesenan Pemandu KL Ditutup Sementara
Banjir kilat di sekitar KL pagi ini
Menurut laporan, beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur dilanda hujan lebat berterusan pada pagi ini.
Menerusi perkongsian orang ramai di media sosial, beberapa kawasan dikenal pasti berlaku banjir kilat antaranya di sekitar bangunan Bank Rakyat, Wisma Central Jalan Ampang, Jalan Tangsi dan Setapak.
Keadaan yang sama turut dilaporkan di pintu utama UM dan jalan berhadapan Fakulti Undang-Undang, bagaimanapun keadaan masih terkawal dan banjir di UM dilaporkan mulai surut.
Sementara itu, tular di media sosial video memaparkan sebuah tadika di Kampung Klang Gate, Klang dilanda banjir hingga menyebabkan pelajar terpaksa berdiri di atas meja sementara menunggu bantuan.
Namun, difahamkan, kesemua pelajar berkenaan sudah berjaya diselamatkan dan dibawa keluar dari kawasan tadika berkenaan.
Sumber: Buletin TV3, Kosmo!