Semalam, tular beberapa buah video di media sosial yang memaparkan sekumpulan pelajar bertindak memukul seorang pelajar di sebuah padang.
Menurut laporan Kosmo!, kejadian berkenaan berlaku di Kemensah Height Embun, Kemensah Trak Motocross Taman Melawati, Kuala Lumpur.
Hasil siasatan pihak polis mendapati insiden itu berlaku disebabkan perselisihan faham, mangsa yang berada di tingkatan tiga didakwa tidak menghormati sekumpulan pelajar senior di tingkatan lima.
Ketua Polis Daerah Ampang, Mohamad Farouk Eshak memberitahu, awalnya mangsa yang berusia 15 tahun itu telah dipukul di tangga sekolahnya, sekitar pukul 9.30 pagi dan mangsa dikatakan ditumbuk di bahagian dada kiri, dicekik dan ditendang pada bahagian belakang badan.
“Mangsa turut diugut akan disiku bahagian muka sekiranya tidak berjumpa di Anjung Selera. Selepas itu, terdapat lima suspek mengajak mangsa ke Bukit Mar Mar Kemensah, lalu dipukul.
“Salah seorang suspek turut menumbuk di bahagian muka pengadu sebanyak empat kali,” katanya.
Mangsa difahamkan mengalami kecederaan pada dahi kepala, luka di bahagian tepi kening kiri, rahang di bahagian muka kiri serta belakang tengkuk mengalami kesakitan dan bengkak.
Kes disiasat bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada sengaja mendatangkan kecederaan.
Baca: Siap Ugut ‘Kebal’ Undang-Undang, Kakak Dakwa Adik Jadi Mangsa Buli Dalam Kursus Tentera Udara