Seakan tiada kesudahan, kemelut antara penyanyi serta usahawan terkenal, Nubhan Ahmad dan bekas isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau lebih mesra disapa Dr Fie nampaknya kembali panas.
Terbaharu, Dr Fie meluahkan rasa terkilan yang amat sangat selepas dia menerima notis prosiding komital yang difailkan terhadap dirinya oleh bekas suaminya itu.
Dalam laporan mStar, Dr Fie berkata dia sama sekali tidak menyangka tindakan sedemikian akan diambil oleh Nubhan. Malah, dia mendakwa hanya mengetahui mengenai notis berkenaan kira-kira seminggu yang lalu.
Artikel berkaitan: Barang Kemas Dan Wang Tunai Hilang, Dr Fie Tawfek Buat Laporan Polis Terhadap Bekas Suami
Artikel berkaitan: “Tergamaknya kau!” – Dr Fie Dakwa Pemberian Harta & Klinik Oleh Bekas Suami Hanya Sekadar ‘Content’
View this post on Instagram
“Saya dapat notis baru seminggu, pada 28 April tempoh hari. Saya juga terkejut apabila dapat perintah mahkamah ini. Saya hanya doakan semuanya baik-baik,” katanya.
Penat Urus Anak Sorang-Sorang Sampai Tak Sempat Hantar Sekolah
Ibu kepada tiga cahaya mata ini turut berkongsi betapa peritnya dia membahagikan masa antara kerjaya dan tanggungjawab membesarkan anak-anak sendirian. Gara-gara terlalu memikirkan isu mahkamah ini, rutin hariannya turut terganggu.
“Saya juga penat bekerja, saya nak jaga anak-anak dan uruskan mereka ke sekolah. Pagi ini pun saya tak dapat hantar anak saya. Jadi saya agak terkilan dengan notis yang dihantar.”
Saya tak sangka perkara seperti ini akan berlaku. Anak-anak baik dengan saya, jadi saya bertanya kenapa perkara ini terjadi,” luahnya.
Bercakap kepada media selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Selasa, Dr Fie berharap agar Nubhan dapat mempertimbangkan semula tindakan undang-undang tersebut demi kebaikan bersama, terutamanya buat anak-anak mereka yang masih kecil.
“Saya sekarang menjaga anak-anak, jadi saya harap dia boleh bertindak dengan baik dan fikirkan masa depan anak-anak.”
Fikirkan juga kesan terhadap mental dan kesihatan saya,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, prosiding komital merupakan satu proses undang-undang di mana mahkamah boleh mengambil tindakan terhadap individu yang gagal mematuhi perintah yang telah ditetapkan atau dianggap menghina mahkamah.
Pun begitu, butiran terperinci mengenai dakwaan pelanggaran perintah tersebut tidak didedahkan kepada umum.
Mahkamah telah menetapkan 10 Ogos depan sebagai tarikh sebutan seterusnya bagi membolehkan Dr Fie selaku defendan memfailkan afidavit pembelaan.
Sumber: mStar
