Ini kisah Pegawai Waran 2 (B) Mahmor Said, anak jati Johor yang digelar ‘Pembunuh 3 Minit’ selepas berjaya tumpaskan sekumpulan pengganas pada usia 25 tahun.
Siapa Mahmor Said?
Mahmor Said atau lebih dikenali sebagai Pak Tam dilahirkan di Parit Sulong, Johor dan merupakan anak ke-4 daripada 12 adik beradik. Beliau menjadi antara anak muda terawal yang terpilih untuk mendapat latihan asas komando daripada Rejimen 40 Komando British.
Beliau akhirnya menjadi anggota komando dalam Angkatan Tentera Malaysia pada 1965 selepas selesai latihan yang berpangkalan di Kem Majidee. Setelah itu, beliau diserap ke dalam pasukan komando yang pada ketika itu dikenali sebagai Malaysia Special Service Unit (MSSU).
Kehebatan Mahmor Said
Pada pagi 3 Mac 1967, mereka telah diarahkan untuk pergi ke Kompleks Gunung Gading, Lundu, Sarawak untuk memburu kira-kira 8 hingga 15 orang pengganas Pasukan Gerila Rakyat Sarawak (PGRS).
Tengok ‘syok’ buat teh, tiba-tiba musuh depan mata
Baginya musuh mesti ditumbangkan dulu sebelum bertindak untuk mencari perlindungan. Jadi tak hairanlah apabila beliau dengan pantasnya mendapatkan senjata ketika musuh betul-betul di depannya.
Ketika kejadian pada waktu tengah hari itu, Mahmor sedang beristirehat bersama-sama rakan-rakannya, Tpr. (Trooper) Omar Abdul Rahman dan Kpl. (Koperal) Sulaiman Salut di khemah rehat mereka berdekatan kawasan gunung terbabit.
Sedang beliau asyik membancuh teh tarik, tiba-tiba kedengaran bunyi seperti daun kering dipijak orang. Pada mulanya beliau sangka, itu adalah rakan-rakan yang baru saja pulang dari membuat rondaan memandangkan pandangannya terhalang oleh pohon rimbun.
Tapi, alangkah terkejutnya beliau apabila ternampak sekumpulan musuh sedang berjalan laju menuju ke arahnya, kira-kira 8 meter dari tempatnya berdiri. Sebaik ternampak Mahmor di depan mata, seorang pengganas lelaki tergamam terlihat beliau yang tercegat di depannya membuatkan kumpulan itu kemudian berhenti secara tiba-tiba.
Tidak melepaskan peluang, Mahmor terus bertindak pantas dengan segera melompat ke arah senjatanya yang terletak kira-kira 6 meter dari tempat beliau berdiri.
Sebaik sahaja senjata dicapai, saya terus angkat ke aras pinggang dan mencekahnya. Kemudian saya tolak kunci selamat senjata ke automatik dan terus memuntahkan peluru.”
Tembakan dari kelopak pertama mencederakan empat musuh
Sebanyak 30 butir peluru 7.62mm keluar dari senjata itu dan berjaya mencederakan empat atau lima orang pengganas tersebut. Mahmor kemudian terus capai kelopak dari pouches miliknya apabila melihat pengganas lain yang masih bergerak dan membuat tembakan balas terhadapnya.
30 butir lagi ditembak dan diikuti pula dengan kelopak ketiga yang mempunyai kira-kira 25 butir peluru. Satu demi satu pengganas rebah dan dengan sekelip mata mayat-mayat pengganas bergelimpangan di depannya.
‘Pembunuh 3 Minit’
Disebabkan tragedi itu, Mahmor Said digelar ‘Pembunuh 3 Minit’ kerana beliau berjaya tumpaskan tujuh orang pengganas hanya dalam masa kurang dari 3 minit.
Tanpa beliau sedar juga, tembakan dari pengganas hampir membunuhnya apabila peluru terkena pada sebatang pokok yang hanya jauh sejengkal darinya.
Selesai menembak, baru saya perasan yang pokok sebesar ibu jari itu patah akibat terkena tembakan musuh.”
Mereka kemudian membuat operasi penggeledahan dan terpaksa bermalam dengan mayat-mayat pengganas tersebut sebelum keluar dari kawasan operasi keesokan hari menggunakan helikopter.
Sejarah tercipta
Kejayaan Mahmor dan rakan-rakannya menewaskan musuh bukan setakat membuktikan kehebatannya tetapi juga telah melakar tiga sejarah penting buat Regimen Gerak Khas (RGK). Berikut adalah sejarah yang tercipta:
- Beliau menjadi anggota RGK yang pertama berjaya membunuh pengganas sejak rejimen itu ditubuhkan pada tahun 1965
- Beliau berjaya membunuh musuh paling ramai pernah dilakukan seorang anggota komando dalam satu operasi secara bersendirian. (Rekod itu masih belum dipecahkan sehingga hari ini)
- Beliau berjaya membunuh tujuh musuh dalam tempoh yang singkat dengan hanya menggunakan 85 butir peluru sahaja.
Dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB)
Pada 5 Jun 1968, Mahmor Said telah dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Al-Sultan Ismail Nasaruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin kerana keberanian dan kehebatannya itu.
Kisah beliau turut dicatatkan dalam sebuah buku bertajuk ‘Demi Negara’ yang ditulis oleh bekas Setiausaha Akhbar Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Akmar Hisham Mokhles.
Selepas 21 tahun berkhidmat dalam RGK, Mahmor Said akhirnya bersara dan berjaya menjawat pangkat Pegawai Waran II kerana kecemerlangan dalam melaksanakan tugas.
Kita dilatih untuk memusnahkan musuh, jadi istilah takut itu tak timbul. Alhamdulillah, lepas peristiwa itu tak adalah orang kata kena badi ke apa ke. Cuma saya ada langkah dan sepak sedikit mayat komunis tu, kata orang untuk elak badi, sambil berkata kau ni menyusahkan orang sahaja.”
Sumber: Malaysia Gazette , The Patriots
Baca: #KisahMerdeka : Hilang Kaki Terkena Jerangkap Samar Angkara Komunis! Ini Kisah Pok Ya, 1976