Kalau korang jenis yang suka food hunting sambil layan persembahan artis, ada satu festival yang boleh masuk dalam senarai hujung minggu korang.
Selangor Mega Food Fest 2026 kembali lagi dan kali ini lebih meriah dengan gabungan makanan, budaya, aktiviti menarik serta persembahan artis popular selama tiga hari.
Festival yang merupakan antara acara pelancongan utama Visit Selangor Year 2026 (VSY2026) ini akan berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober 2026 di Mitsui Outlet Park KLIA Sepang.
Lebih 60 Vendor Makanan Bakal Meriahkan Festival
Untuk edisi kali ini, lebih daripada 60 vendor makanan dan minuman akan mengambil bahagian dengan mengetengahkan pelbagai pilihan makanan dari Selangor.
Bukan sekadar makanan tradisional, pengunjung juga boleh mencuba pelbagai sajian kontemporari, makanan yang sedang trending serta produk tempatan.
Menariknya, festival ini turut menyediakan beberapa zon makanan khas yang mengetengahkan warisan kulinari tradisional Selangor, makanan urban yang sedang popular serta produk tempatan menerusi Platform Selangor (PLATS).
Jadi, korang boleh datang bukan sekadar untuk makan, tapi dalam masa sama kenal dengan lebih dekat kepelbagaian makanan dan produk tempatan Selangor.
Bukan Makan Je, Banyak Aktiviti Menarik Menanti
Selangor Mega Food Fest 2026 juga membawa konsep lifestyle festival, menggabungkan gastronomi, hiburan dan budaya dalam satu lokasi.
Sepanjang festival berlangsung, pengunjung boleh menyertai atau menyaksikan pelbagai aktiviti seperti pameran dan jualan makanan, demonstrasi masakan,cabaran makan,persembahan kebudayaan, aktiviti sukan interaktif,bengkel kreatif dan sesi meet-and-greet bersama influencer.
Malah, lokasinya yang berdekatan dengan KLIA dan Sepang turut menjadikan festival ini sebagai salah satu pengalaman persinggahan untuk pelancong tempatan dan antarabangsa.
Signature Selangor Turut Dilancarkan
Antara perkara yang bakal mencuri perhatian ialah pelancaran rasmi Signature Selangor Campaign oleh Tourism Selangor.
Kempen ini diperkenalkan bagi meraikan dan mempromosikan makanan serta minuman ikonik yang cukup sinonim dengan identiti Selangor.
Menerusi kempen tersebut, makanan tempatan yang mempunyai nilai warisan, kepelbagaian budaya dan cita rasa tersendiri Selangor akan diketengahkan kepada orang ramai.
Pelancaran itu turut menampilkan tayangan perdana video promosi khas Signature Selangor, yang memaparkan pilihan pengalaman kulinari ikonik negeri itu kepada penonton tempatan dan antarabangsa.
Bunga, Mohsein Kush & XPDC Bakal Gegarkan Pentas
Kalau makanan dah puas dicuba, korang boleh terus layan persembahan muzik yang disediakan sepanjang tiga malam festival.
Antara artis dan kumpulan yang bakal membuat persembahan ialah CHERPEN dan Sofazr pada 2 Oktober.
Kemudian pada 3 Oktober, pentas akan diteruskan dengan persembahan daripada TIP Band.
Kemuncak festival pada 4 Oktober pula akan menyaksikan persembahan daripada kumpulan rock legenda Kristal X dan XPDC.
Selain itu, persembahan khas daripada Bunga dan Mohsein Kush turut menambah kemeriahan acara.
Sasarkan Lebih 20,000 Pengunjung
Selangor Mega Food Fest 2026 dijangka menarik lebih daripada 20,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.
Pada masa sama, festival ini turut menjadi platform untuk membantu usahawan makanan dan minuman tempatan mendapatkan peluang promosi, pemasaran serta jaringan perniagaan.
Penganjuran ini selari dengan usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk merancakkan ekonomi pelancongan, menyokong perusahaan tempatan dan mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab gastronomi yang kaya dengan kepelbagaian budaya serta cita rasa unik.
Festival ini akan dilancarkan secara rasmi oleh Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor, bersama Dato’ Ng Suee Lim, EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor serta pemimpin negeri, wakil industri dan rakan strategik pelancongan.
Dengan sasaran 9 juta pelancong dan anggaran RM12 bilion hasil pelancongan lagi Visit Selangor Year 2026, Selangor Mega Food Fest 2026 menjadi antara platform yang digunakan untuk mengetengahkan kepelbagaian pengalaman pelancongan negeri itu.
Jadi, kalau korang berada di sekitar Selangor atau kebetulan singgah di Sepang, bolehlah masukkan Selangor Mega Food Fest 2026 dalam itinerary hujung minggu korang. Mana tahu, dapat jumpa makanan favourite baharu sambil layan persembahan artis popular!
