Korang pernah tak dengar pasal “The 27 Club”. Kalau korang nak tahu, ia merupakan satu fenomena yang boleh dianggap menyeramkan ekoran ramai pemuzik dan artis yang meninggal di usia 27.
Konsep ini menjadi terkenal ekoran kematian tak dijangka beberapa pemuzik berpengaruh pada tahun 1960-an dan 1970-an. Walaupun ia bukannya sebuah kelab yang formal atau satu organisasi, terma The 27 Club ini sering digunakan untuk individu yang turut menerima nasib yang sama.
Tapi apa sebenarnya cerita disebalik The 27 Club ini? Adakah ia betul-betul satu sumpahan atau hanya sebuah konspirasi? Jadi, pada artikel kali ini, kita akan teroka misteri dan mitos disebalik kelab ini.
Artikel berkaitan: The 27 Club: 5 Artis Hollywood Yang Meninggal Dunia Pada Umur 27 Tahun
Artikel berkaitan: “Seram pula tengok” – [GAMBAR] Suasana ‘Crime Scene’ Ketika Mayat Kurt Cobain Dijumpai
Sebelum kita mulakan, dekat bawah ni adalah antara pemuzik dan ahli The 27 Club yang telah meninggal dunia ketika berusia 27 tahun dan punca kematian dorang:
- Robert Johnson, lagenda blues yang meninggal dunia pada tahun 1938 akibat keracunan.
- Brian Jones, pengasas kumpulan Rolling Stones, meninggal kerana lemas di dalam kolam renangnya pada tahun 1969.
- Jimi Hendrix, pemain gitar handal yang tercekik muntahnya sendiri selepas mengambil ubat barbiturates pada tahun 1970.
- Janis Joplin, penyanyi yang meninggal akibat overdose dadah jenis heroin pada tahun 1970.
- Jim Morrison, penyanyi kumpulan Door yang meninggal di tab mandi rumahnya pada tahun 1971 akibat kegagalan jantung.
- Kurt Cobain, ikon grunge dan penyanyi kumpulan Nirvana, mati kerana menembak dirinya sendiri pada tahun 1994.
- Amy Winehouse, penyanyi yang meninggal kerana keracunan alkohol pada 2011.
Sejarah fenomena The 27 Club
Terma The 27 Club ini hanya popular selepas kematian Kurt Cobain pada tahun 1994 apabila peminat rock sedar tentang kebetulan yang tidak boleh dijelaskan ini. Apa yang menyamakan kesemua ahli kelab ini adalah mereka meninggal dunia ketika berusia 27 tahun.
Namun begitu, beberapa media telah pun menggunakan terma ini pada tahun 1969 apabila pemain gitar The Rolling Stones, Brian Jones meninggal dunia. Dia merupakan antara empat pemuzik rock yang meninggal di usia 27 tahun di antara tahun 1969 dan 1971. Yang lain merupakan Jimi Hendrix, Janis Joplin dan Jim Morrison.
Kematian empat bintang ini telah mengejutkan dunia sekaligus menandakan penamatan era keamanan dan kecintaan.
Fenomena ini kemudiannya mendapat perhatian yang lebih pada tahun 1994 apabila Kurt Cobain telah membunuh dirinya sendiri dengan menembak kepalanya. Malah, ibunya dilaporkan turut berkata:
Sekarang dia dah tak ada dan sertai kelab bodoh tu. Saya dah cakap dekat dia jangan join kelab bodoh ni.”
Ekoran ini, beberapa peminat turut berspekulasi bahawa Cobain sengaja membunuh dirinya kerana mahu dimasukkan di dalam kelab ini bagi mengekalkan popularitinya.
Manakala, artis yang paling latest sertai kelab ini merupakan Amy Winehouse yang meninggal akibat keracunan alkohol pada 2011. Kematiannya ini juga telah mencetuskan minat baharu kepada fenomena ini sehingga mendorong penghormatan serta dokumentari mengenai The 27 Club.
Kalau korang nak tahu, Amy Winehouse turut menyatakan ketakutannya untuk mati di usia 27 tahun tak lama sebelum kematiannya.
Teori dan mitos tentang The 27 Club
Fenomena ini telah mencetuskan banyak teori, mitos dan lagenda tentang kematian di usia ini. Ada yang percaya terdapat sumpahan atau satu konspirasi disebalik kematian-kematian ini, manakala yang lain mengatakan ia merupakan satu kebetulan dan gaya hidup mereka turut dijadikan faktor mereka mati di usia yang muda.
Dekat bawah ni adalah beberapa teori dan mitos yang sering disebut mengenai The 27 Club:
Teori ‘The Saturn Return’
Ini merupakan teori astrologi yang mengatakan pada usia 27, planet Zuhal akan kembali ke posisi yang sama ketika seseorang itu lahir. Disebabkan ini, ia telah menyebabkan kecelaruan emosi, cabaran dan perubahan dalam hidup seseorang. Ada orang yang tak boleh terima dengan perubahan ini sehingga membuatkan mereka terlibat dengan aktiviti yang membahayakan mereka atau membunuh diri.
Teori Pemetik Api Berwarna Putih
Beberapa orang percaya bahawa sesiapa yang menggunakan pemetik api berwarna putih akan mempunyai nasib yang malang dan boleh menyebabkan kematian. Malah ada yang mendakwa, beberapa ahli The 27 Club mempunyai pemetik api berwarna putih bersama dengan mereka ketika kematian mereka.
Bagaimanapun, teori ini telah dinafikan ekoran pemetik api berwarna putih tidak wujud sehingga tahun 1973 apabila beberapa ahli kelab ini telah pun meninggal dunia.
Teori ‘crossroad’
Ini merupakan satu lagenda yang mengatakan, beberapa pemuzik ini telah membuat perjanjian dengan syaitan bagi mendapatkan populariti dan bakat.
Dikatakan, harga yang dorang perlu bayar adalah jiwa dan nyawa mereka di usia 27 tahun. Teori ini mula disebut selepas kisah Robert Johnson yang dikatakan telah menjual ‘jiwanya’ untuk bermain blues.
Teori iluminati
Teori konspirasi ini menyebut bahawa beberapa selebriti ini merupakan ahli Iluminati iaitu organisasi rahsia yang dikatakan mengawal dunia melalui beberapa perkara. Pun begitu, mana-mana selebriti yang mahu mendedahkan atau meninggalkan Iluminati akan dibunuh di usia 27 sebagai amaran atau korban. Teori ini biasanya disokong dengan mencari simbol-simbol atau mesej tersembunyi dalam karya mereka.
Kenapa pemuzik takut masuk dalam The 27 Club?
Beberapa pemuzik yang menghampiri atau dah pun berusia 27 tahun telah menyatakan ketakutan mereka menjadi ahli kelab ini atau kehilangan rakan-rakan di usia ini. Ketakutan ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor antaranya:
- Tekanan menjadi terkenal dan berjaya sehingga memberi kesan kepada kesihatan mental dan kesihatan.
- Pendedahan kepada dadah dan alkohol.
- Kepercayaan khurafat dan paranoia mengenai kelab ini menyebabkan mereka percaya mereka telah disumpah.
- Keinginan untuk meninggalkan legasi atau tanda dalam industri muzik.
Dekat bawah ni merupakan beberapa pemuzik yang pernah menyatakan ketakutan mereka:
- Adele: Di dalam satu temubual pada 2015, penyanyi ini mengatakan yang dia sangat takut untuk menyambut hari jadinya yang ke-27 sehinggakan dia namakan albumnya “25” bagi membekukan usianya sebelum berusia 27 tahun.
- Lady Gaga: Pada 2013, Lady Gaga mengatakan yang dia sangat obses dengan kelab ini sehingga terbawa-bawa dalam mimpi yang dia mati di usia tersebut. Dia juga turut mengatakan tekanannya untuk mempunyai legasi seperti Amy Winehouse dan Kurt Cobain.
- Ed Sheeran: Di dalam satu temubual pada 2017, lelaki ini mengatakan bahawa dia bersyukur yang dia telah pun berusia 28 tahun kerana berjaya keluar dari kelab tersebut. Dia juga turut mengatakan yang dia telah berhenti merokok dan minum bagi mengelakkan nasib yang sama.
Apa pun, The 27 Club ini bukanlah satu sumpahan tapi hanyalah kebetulan dan mitos. Tak ada bukti saintifik yang mengatakan seseorang itu lebih berpotensi untuk mati di usia 27 tahun. Ahli-ahli kelab ini bukannya meninggal kerana usia mereka tapi kerana gaya hidup yang mereka pilih.
Sumber: Neon Music