Susah betul kalau orang yang dah nekad nak buat sesuatu benda ni sebab mereka selalunya memang dah tak ambik port apa orang sekeliling nak cakap walaupun ahli keluarga sendiri. Kalau nekad nak buat benda baik takpe, yang nekad buat benda salah ni yang bermasalah ni…
Satu video viral di laman sosial memaparkan tindakan nekad seorang lelaki dipercayai tetamu sebuah majlis perkahwinan yang selamba mencuri wang hantaran meskipun dikelilingi ramai orang. Nak dijadikan cerita pulak, duit hantaran tu digubah dalam bentuk kalung yang dipakai si pengantin lelaki.
India Times melaporkan, insiden yang difahamkan berlaku di India itu dirakam oleh salah seorang tetamu lain yang menghadiri majlis sama. Pengantin lelaki dapat dilihat memakai kalungan duit hantaran sambil duduk dikelilingi tetamu dan ahli keluarga lain. Dapat dilihat di bahagian kirinya pula, seorang lelaki berkemeja lengan panjang duduk dekat dengannya.
Meskipun kedudukannya agak risky, itu tak menghalang si pencuri untuk melakukan projek terkutuknya dengan cuba untuk mengambil sedikit wang hantaran pada kalung yang dipakai pengantin lelaki. Memang berani mati betul!
https://www.instagram.com/p/CcAClSCgLha/?utm_source=ig_embed&utm_campaign=embed_video_watch_again
Bukan sekali, tapi dua kali cuba!
Menerusi video terbabit dapat dilihat si pencuri cuba untuk mengambil beberapa wang tunai di hujung kalung ketika pengantin lelaki sedang mendengar apa yang diperkatakan saudara-maranya. Walau bagaimanapun, cubaan pertama si panjang tangan gagal selepas pengantin lelaki menoleh kearahnya.
Meskipun begitu, si pencuri tak mengalah dan sekali lagi cuba untuk mengambil beberapa wang not di kalung wang hantaran dipakai pengantin lelaki. Kali ini, dia berjaya mencuri beberapa duit berkenaan yang segera disumbat ke dalam poket seluarnya.
Tidak mengejutkan apabila video terbabit mendapat pelbagai kecaman daripada pengguna media sosial. Ada juga yang mengelar tindakan si pencuri seperti dalam siri Netflix popular, Money Heist.
“Tak ada orang yang patut dapat kawan macam ni dalam hidup,” komen netizen.
“Patutnya video ni tayang je masa majlis tu kat projektor. Biar padan muka!” kata yang lain pula.
Sumber: India Times
Baca: [VIDEO] Ditinggal Kekasih Saat Akhir, Lelaki Bakar Duit Hantaran & Pergi Honeymoon Sorang Diri