Seorang wanita maut selepas ditikam suaminya sendiri dalam kejadian di Kampung Paku, Gual Ipoh, semalam, dipercayai akibat cemburu melampau dan tuduhan tidak berasas.
Kejadian tragis itu berlaku selepas suspek, lelaki berusia 63 tahun, sudah lama mengesyaki isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain sehingga bertindak mencari jawapan melalui sumber tidak sahih, termasuk berjumpa bomoh.
Artikel berkaitan: Kes Suami T*kam Isteri: Suspek Sempat Ambil Anak Dari Sekolah Sebelum Serah Diri
Artikel berkaitan: Kes Pelajar Dit*kam : Tiada Jaminan Buat Suspek – Mahkamah
Menurut sepupu mangsa, Razwan Mat Yazid, 30-an, suami mangsa kerap menghubunginya sebelum kejadian bagi mendapatkan kepastian mengenai tuduhan tersebut.
“Saya sebelum ini memberitahu suspek bahawa arwah tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana lelaki seperti tanggapannya kerana arwah bekerja dan tidak sempat mengangkat telefon disebabkan sibuk bekerja.
Arwah bekerja sebagai tukang masak di Selangor kerap menumpang saya balik ke Kelantan memandangkan saya bekerja sebagai pemandu lori,” katanya.
Razwan berkata, sebelum insiden itu, suspek juga pernah berjumpa dengan bomoh untuk ‘menilik’ isterinya bagi mengetahui sama ada mangsa benar-benar mempunyai hubungan dengan lelaki lain seperti yang disangka.
Susulan itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, mengesahkan kejadian bermotifkan cemburu berdasarkan perkembangan siasatan awal.
“Suspek dalam keadaan yang marah terlampau sehingga bertindak menikam isterinya. Kita boleh kata kejadian ini bermotifkan cemburu dan suspek mengesyaki isterinya ada lelaki lain.
Ujian air kencing juga adalah negatif dadah dan suspek seorang penganggur. Suspek juga seorang yang normal dan tidak mempunyai masalah mental,” katanya.
Mangsa difahamkan ditikam sekali di bahagian badan sehingga mengalami kecederaan parah sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sumber: Harian Metro
