Sebentar tadi, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat pengumuman khas mengenai kemudahan-kemudahan bagi individu yang sudah lengkap menerima vaksinasi di negara ini.
Menurut Perdana Menteri, individu yang sudah lengkap dua dos suntikan vaksin dianggap lengkap selepas mereka sudah melepasi hari ke-14 sejak mereka diberikan suntikan dos kedua (untuk vaksin Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca). Manakala, bagi penerima vaksin Johnson&Johnson, tempoh dikira lengkap vaksinasi adalah 28 hari selepas menerima suntikan.
Kesemua kemudahan ini akan berkuatkuasa bermula Selasa, 10 Ogos 2021 untuk negeri-negeri yang berada di Fasa 2 PPN dan seterusnya (selain daripada yang dinyatakan).
Berikut merupakan kemudahan-kemudahan yang bakal dinikmati individu yang sudah lengkap vaksinasi:
- Penggembara warganegara dan bukan warganegara yang sudah lengkap menerima suntikan vaksin yang tiba dari luar negara dibenarkan jalani kuarantin wajib di rumah
- Pasangan suami isteri jarak jauh dos lengkap dibenarkan rentas daerah dan negeri
- Ibu bapa lengkap dua dos vaksin dibenarkan rentas daerah dan negeri untuk berjumpa anak berusia bawah 18 tahun
- Aktiviti solat jemaah dibenarkan di masjid tapi masih perlu patuhi SOP & perlu segera pulang lepas solat (terpakai semua fasa dalam PPN). Jemaah masjid juga perlu tunjukkan sijil lengkap vaksinasi sebagai bukti
- Penganut bukan Islam boleh hadiri rumah-rumah ibadat
- Mereka yang tinggal di kawasan dikenakan FASA 2 PPN & seterusnya: Rentas daerah dibenarkan tapi mesti tunjuk sijil digital vaksinasi di sekatan jalan raya sebagai bukti sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.
- Aktiviti ‘dine-in’ dibenarkan. Pengusaha premis perlu pastikan sijil vaksinasi lengkap ditunjukkan sebelum memasuki premis
- Pasangan yang sudah menerima dos vaksin lengkap boleh bawak anak berusia bawah 18 tahun ‘dine-in’ tapi perlu pastikan SOP dipatuhi
- Aktiviti sukan & riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan dibenarkan
- Operasi bilik persalinan & bilik mandi di ‘clubhouse’ tak dibenarkan
- Perlancongan dalam negeri sama dibenarkan. (Fasa 2 PPN dan seterusnya)
Dalam pada itu, Perdana Menteri juga berharap agar rakyat Malaysia tidak terlalu selesa dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) meskipun sudah lengkap menerima vaksinasi.
Beliau juga menambah, kerajaan tak akan teragak-agak untuk menarik semula kemudahan sekiranya ada pelanggaran SOP dan kompaun juga akan dikeluarkan.