Pasangan suami isteri yang merupakan influencer islamik dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendapatkan perintah tahanan reman berhubung isu menyeleweng kutipan derma.
Menerusi video yang dimuat di media sosial, kedua-dua mereka diiringi pegawai SPRM dengan berpakaian warna oren dan bergari.
Pempengaruh yang berusia 30 tahun itu kelihatan tenang dan sempat melemparkan senyuman kepada pengamal media.
Artikel berkaitan: Guna Gambar Rakan Artis Tanpa Persetujuan Untuk Kempen Kutipan Derma, Alif Teega Buat Permohonan Maaf
Artikel berkaitan: “Muka kami digunakan tanpa consent” – Alif Teega Nafi Aisyah Hijanah Terlibat Isu Komisyen Derma 20%
Dia juga memaklumkan dia dalam keadaan sihat sahaja dan meminta orang ramai mendoakan segala urusannya dipermudahkan.
“Assalamualaikum, saya sihat, Alhamdulillah, mohon doa baik-baik,” kata suami itu ketika disapa.
Sementara itu, turut akan direman ialah dua lelaki yang merupakan pengarah dan pemegang saham sebuah platform kutipan bantuan, disyaki terbabit dalam kes berkenaan.
Terdahulu, dia dan juga isterinya yang berusia 26 tahun yang merupakan pemilik tudung jenama terkenal ditahan SPRM pada jam 6.40 petang semalam.
Menurut sumber, ia berhubung siasatan kutipan derma melebihi jutaan ringgit, namun difahamkan wang itu tidak disalurkan secara betul.
Sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial mengenai pasangan pempengaruh yang dikatakan mengambil komisen daripada kutipan derma orang ramai dengan peratusan yang tinggi.
Selain itu, mereka juga didakwa hidup dalam kemewahan sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya daripada warga siber.
Bagaimanapun, pasangan itu telah tampil dan menafikan semua dakwaan terbabit di media sosial.
Sumber: Sinar Harian