Datuk Seri Ismail Sabri dikatakan menunjuk-nunjuk dan mempromosikan baju serta barang pameran di rak ketika sidang akhbar hariannya. Begitulah pendapat netizen dan ternyata Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh juga mempunyai pendapat yang sama.
Malah di Twitter, netizen mula memperkatakan tentang barang pameran di atas rak kabinet yang menjadi ‘background’ sidang media harian beliau baru-baru ini.
Menurut mStar, pada sidang media hari ini, beliau memberi respon tentang hal itu dan berkata kabinet tersebut memang sudah sedia ada. Menteri Kanan (Keselamatan) itu turut berkata dia hanya menjalankan tugas untuk memberi maklumat kepada rakyat.
“Saya tak tahu, ini kabinet (rak) yang dah ada. Takkan nak dibuang. Ini kabinet Kementerian Pertahanan, dah ada di sini.”
“Jadi saya biarkan dan saya tak promosikan apa-apa. Saya hanya memaklumkan tindakan harian yang rakyat mahu tahu.”
“Rakyat nak tahu apa yang dilakukan pihak berkuasa terhadap orang yang gagal patuhi prosedur operasi standard (SOP). Dan orang ramai mahu polis melakukan tindakan sebab ia boleh selamatkan orang lain. Jadi saya lapor setiap hari.”